WASHINGTON: Impian Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk menguasai Greenland semakin hampir menjadi kenyataan apabila Washington didakwa mencapai persetujuan dengan Denmark dan pulau terbesar dunia itu berhubung kawalan keselamatan serta keperluan lain di wilayah berkenaan.
Menurut Trump, perjanjian itu bakal memberikan AS ‘kawalan kekal’ dan kuasa penuh untuk mengambil sebarang tindakan yang diperlukan di pulau terbabit.
“Atas arahan saya, kami bekerjasama dengan wakil Denmark dan Greenland bagi menjamin AS akan mempunyai keupayaan penuh untuk melakukan apa sahaja yang perlu di Greenland buat selama-lamanya,” kata Trump dalam hantaran di Truth Social kelmarin.
Beliau turut mendakwa negara yang dianggap sebagai musuh AS akan dilarang menubuhkan pangkalan tentera atau menempatkan anggota di Greenland tanpa kebenaran bertulis daripada Washington.
Trump berkata, perancangan untuk membina kehadiran ketenteraan AS yang besar di kawasan bersesuaian di seluruh Greenland akan dimulakan serta-merta, dan mendakwa terdapat banyak lokasi berpotensi.
Presiden berusia 80 tahun itu menyifatkan persetujuan berkenaan sebagai ‘Perjanjian Hayat Tanpa Had’ yang tidak mempunyai tempoh tamat.
Denmark dan Greenland dalam kenyataan bersama kelmarin memaklumkan perjanjian dengan AS dijangka ditandatangani minggu depan sempena persidangan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kenyataan itu turut menyebut perjanjian tersebut masih tertakluk kepada kelulusan Parlimen di Nuuk dan Copenhagen.
Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, berkata perjanjian itu mengiktiraf kedaulatan dan keutuhan wilayah Kerajaan Denmark serta hak rakyat Greenland untuk menentukan nasib sendiri.
Manakala, Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen, pula berkata perjanjian dengan AS itu memperkukuh keselamatan wilayah berkenaan.
Sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari 2025, Trump berulang kali menegaskan Washington memerlukan kawalan ke atas Greenland atas alasan strategik, sekali gus mencetuskan kebimbangan sekutu NATO, Denmark, serta bantahan keras dalam pakatan berkenaan.- AL JAZEERA











