PETALING JAYA: Ratu baling tukul besi wanita negara, Grace Wong perlu melepasi jarak 70 meter (m) jika mahu menghidupkan peluang memburu emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang akan berlangsung pada 19 September hingga 4 Oktober ini.
Penyelaras Program Kejurulatihan Olahraga Malaysia (MA), Mohd Manshahar Abd Jalil berkata, sasaran itu penting kerana wakil China dijangka menjadi pencabar paling sukar selepas beberapa atlet negara berkenaan sudah memiliki catatan melebihi 70m.
Menurutnya, Grace tetap mempunyai ruang untuk memecahkan rekod kebangsaan miliknya iaitu 65.41m, namun peningkatan kepada sekitar 68m masih belum cukup untuk menjamin kedudukan teratas di Aichi-Nagoya.
“Grace masih agak jauh kerana atlet China sangat kuat dalam acara ini dengan catatan 70m ke atas.
“Untuk rekod kebangsaan, mungkin dia boleh melakukan 68m dan memecahkan rekod kebangsaan. Tetapi untuk menang, dia perlu melakukan lontaran 70m dan ke atas,” katanya.
Pemegang rekod kebangsaan itu kini menjalani latihan di China sejak awal tahun lalu bagi membina momentum selain menikmati suasana persaingan dan latihan yang lebih kompetitif.
Pada Sukan Asia Hangzhou 2022, Grace hanya mampu menduduki tempat ke-10 dengan lontaran 57.46m, namun keupayaan menembusi angka 70m kali ini diyakini mampu melonjakkan peluangnya ke podium.
Grace sebelum ini terpaksa menarik diri daripada Sukan Komanwel Glasgow 2026 akibat kecederaan buku lali yang dialaminya sebelum temasya bermula.
Dalam pada itu, Manshahar melihat Shereen Samson Vallabouy masih berpeluang mencabar kelompok hadapan acara 400m wanita walaupun catatan terbaiknya musim ini berada pada lingkungan 52 saat (s).
Bagaimanapun, pelari Filipina yang sudah merekodkan masa bawah 52s serta wakil China bakal menjadi halangan utama buat Shereen, yang perlu memperbaiki catatan jika mahu bersaing dengan lebih rapat.
“Berdasarkan catatan musim ini, Shereen berada sekitar 52s lebih dan mungkin menduduki tangga kelima atau keenam, tetapi peluang tetap ada kerana apa saja boleh berlaku dalam Sukan Asia,” katanya.
Shereen sebelum ini membuktikan kemampuannya di Hangzhou 2022 apabila meraih gangsa dengan catatan 52.58s, sekali gus menamatkan kemarau 17 tahun olahraga negara tanpa pingat dalam acara berkenaan.-UTUSAN










