KUALA LUMPUR: Memiliki pengalaman dua penggal dalam pentadbiran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak membuatkan Mohd Firdaus Mohamed menganggap dirinya sebagai calon pilihan pada Kongres Luar Biasa (EGM) FAM, 17 September ini.
Sebaliknya, bekas Naib Presiden FAM itu lebih selesa turun sebagai calon ‘underdog’, dengan menganggap pencalonannya bagi jawatan Naib Presiden sebagai satu amanah untuk kembali membantu memperbaiki landskap bola sepak negara.
“Biarlah saya turun sebagai ‘underdog’. Saya lebih suka kepada ‘underdog’.
“Saya terpanggil untuk bertanding ini lebih kepada untuk membantu selepas saya pernah terlibat dalam FAM selama dua penggal, bermula daripada exco sehingga naib presiden,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Selangor Piala Emas Raja-Raja 2026 di sini, hari ini.
Firdaus bukan asing dalam pentadbiran bola sepak negara apabila pernah berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM dari 2018 hingga 2021 sebelum menyandang jawatan Naib Presiden bagi penggal 2021 hingga 2025.
Antara tanggungjawab penting yang pernah digalasnya ialah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penswastaan Liga Malaysia (Liga M) pada 2018, yang menyaksikan proses pemisahan pasukan daripada Persatuan Bolasepak Negeri (FA) kepada kelab bola sepak (FC) berjaya dilaksanakan pada penghujung 2020.
Beliau kemudiannya diberi kepercayaan menerajui Jawatankuasa Pertandingan FAM, termasuk memperkasakan saingan di peringkat pembangunan dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat.
Pengalaman Firdaus turut merangkumi usaha menghidupkan semula Pestabola Merdeka pada 2023 selepas kejohanan berprestij yang merupakan antara kejohanan bola sepak tertua di Asia itu kali terakhir dianjurkan pada 2013.
Saingan tiga penjuru bakal disaksikan bagi jawatan Naib Presiden FAM apabila penyandang, Datuk Seri Rosmadi Ismail mahu mempertahankan kedudukannya selain dicabar oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, Syed Yazid Syed Omar.
Mengulas lanjut, Firdaus mengakui masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dalam FAM, khususnya bagi mengembalikan kepercayaan penyokong terhadap badan induk itu dan pasukan kebangsaan.
“Tidak terlambat lagi. Banyak penambahbaikan yang harus kita lakukan. Kita boleh buat dengan usaha daripada pelbagai pihak namun, sesiapa saja yang dipilih perlu banyak melakukan ‘engagement’ dengan penyokong Harimau Malaya,” katanya.-UTUSAN










