SEGAMAT: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesan cubaan menyeludup keluar dadah hampir setiap hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, majoriti daripada individu yang dikesan terlibat aktif dalam jenayah itu merupakan warganegara asing.
Katanya, perkara itu dikesan pihaknya selepas diamanahkan dengan tugas penyaringan di kedua-dua terminal itu bersama Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB).
“Sebenarnya hampir hari-hari, kalau tak hari-hari pun tiap-tiap minggu kita menahan mereka yang cuba menyeludup bunga ganja keluar daripada negara. Kebanyakan mereka bukan warganegara Malaysia.
“Ini merupakan antara tugas-tugas yang agak mencabar buat AKPS. Di kedua-dua lapangan terbang itu, kita diberikan tiga tugas utama iaitu mengkoordinasi semua saringan secara bersasar, menyelaras semua perihal risikan dan juga tugasan K9 di lapangan terbang antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai AKPS Siri 1/2026 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat, di sini hari ini.
Hadir menyempurnakan majlis, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dan Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad.
Sementara itu, Mohd. Shuhaily turut memberitahu, AKPS telah merekodkan RM265.89 juta nilai rampasan di kesemua 122 pintu masuk negara ini sepanjang tahun ini, sekali gus mengelakkan berlaku ketirisan dalam negara.
“Jumlah ini adalah peningkatan kira-kira tiga kali ganda berbanding nilai RM80 juta yang direkodkan sepanjang tahun lalu. Antara rampasan utama melibatkan e-waste dan juga dadah.
“Sehubungan itu, kita memerlukan pegawai dan anggota dibantu teknologi terkini untuk memastikan keselamatan di sempadan-sempadan negara kekal selamat dan terjamin,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengakui keperluan untuk AKPS memiliki pusat latihan bersesuaian untuk menangani jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks, licik dan moden.
“Justeru itu kita perlukan pusat latihan yang setaraf dengan apa yang berlaku. Namun realistiknya, penubuhan pusat latihan bersesuaian memerlukan perbelanjaan tinggi. Jadi saya serahkan perkara itu kepada pihak kerajaan untuk kenal pasti mana-mana institusi atau premis yang tidak dioptimumkan untuk dipindah milik,” katanya.-UTUSAN











