China Masters: Pang Ron-Pei Jing intai gelaran sulung

China Masters: Pang Ron-Pei Jing intai gelaran sulung

BEREGU Campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing akan menentang pasangan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping pada final Kejohanan Badminton China Masters di Guangdong, China.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mampukah gandingan beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing, meraih gelaran sulung, selepas menjalinkan kerjasama selama empat bulan apabila turun pada final Kejohanan Badminton China Masters di Guangdong, China, hari ini.

Persoalan itu pastinya menjadi tumpuan apabila Pang Ron-Pei Jing kini hanya selangkah untuk mencipta kejayaan pertama sebagai gandingan baharu selepas mempamerkan prestasi konsisten sepanjang kejohanan.

Mereka mara ke final selepas melakar kemenangan keempat berturut-turut, sekali gus membuka peluang untuk menutup kempen di China dengan trofi pertama sejak digandingkan.

Pasangan No. 85 dunia itu mara ke perlawanan akhir selepas membenam beregu muda tuan rumah, Zhu Yi Jun-Li Qian yang menghuni ranking No. 28 dunia 21-12, 21-10 dalam masa 34 minit pada separuh akhir di Shenzen Arena, semalam.

Dalam aksi final, Pang Ron-Pei Jing bakal berdepan laluan yang cukup getir menentang satu lagi beregu tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping yang merupakan pasangan No. 1 dunia.

Yan Zhe-Dong Ping mendapat tiket ke perlawanan akhir selepas menewaskan satu lagi wakil negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai 21-11, 24-22 dalam masa 50 minit.

Kali pertama mara ke perlawanan akhir pada kejohanan berstatus Super 750 itu, Pei Jing Jing melahirkan rasa gembira yang sukar untuk dihuraikannya dengan kata-kata.

“Kami tahu perlawanan ini tidak akan menjadi satu pertemuan yang mudah. Jadi, kami hanya fokus pada setiap mata yang dimainkan. Itu sahaja,” katanya kepada wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam.

Sementara itu, Pang Ron yang pernah beraksi pada final China Masters bersama Cheng Su Yin sebelum ini berkata, perasaannya kali ini berbeza kerana dia beraksi dengan Pei Jing pula.

“Ini adalah salah satu pencapaian saya juga, tetapi harapnya dalam perlawanan akhir nanti kami boleh lakukan yang terbaik,” katanya.

Pemain berusia 28 tahun itu memberitahu, dia serta Pei Jing telah mengharungi satu tempoh latihan yang panjang dan jurulatih telah banyak membantu mereka membuat persediaan.

Ketika ditanya tentang makna di sebalik gaya sambutan menunjukkan bilangan jari selepas tamat perlawanan, Pang Ron menjelaskan, ia cuma isyarat untuk kemenangan pertama, kedua, ketiga dan seterusnya, jadi, dia berharap, esok, lima jari dapat ditunjukkan sebagai tanda kemenangan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×