KOTA BHARU: Bekas timbalan pengurus anak syarikat Tabung Haji (TH) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah sebanyak RM14,000 sembilan tahun lalu.
Wang tersebut hasil kutipan penalti daripada kontraktor melibatkan projek membina dan menyiapkan projek bangunan komersial setinggi 22 tingkat milik TH.
Tertuduh Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Mengikut pertuduhan, Tengku Kamarolhisham didakwa bersubahat dengan Pengurus Pembinaan THP Timur Sdn. Bhd., Mohamad Hashim Mukhatap, 53, yang didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang RM14,000 dan memasukkannya ke dalam akaun bank sendiri.
Wang tersebut merupakan hasil kutipan penalti terhadap kontraktor, Kelpile Sdn. Bhd., melibatkan projek cadangan membina dan menyiapkan sebuah bangunan komersial 22 tingkat yang mengandungi 244 unit pangsapuri perkhidmatan, unit kediaman tingkat teratas (empat unit), kemudahan awam (aras tujuh), ruang perniagaan (dua tingkat), tempat letak kereta (lima tingkat), aras bawah tanah tambahan (satu tingkat) dan kemudahan yang berkaitan di atas Lot 273, Seksyen 12, di sini.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Sofea Residensi, Seksyen 12, di sini antara 15 November 2017 hingga 8 Ogos 2018.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 109 dibaca bersama Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asmah Che Wan manakala tertuduh diwakili peguam, Fahmi Abd. Moin.
Terdahulu, Asmah mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Fahmi dalam rayuannya memohon ikat jamin yang rendah berikutan tertuduh sudah membayar jaminan sebanyak RM45,000 dan menyerahkan pasport kepada mahkamah selepas didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada awal bulan ini.
“Tertuduh kini bekerja sendiri sejak setahun lalu dengan pendapatan kira-kira RM5,000 sebulan selain perlu menanggung enam orang anak yang masih belajar di institusi pengajian tinggi awam dan bersekolah.
“Selain itu, tertuduh juga mempunyai penyakit kencing manis, jantung, darah tinggi dan kolesterol,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam, Selangor sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 19 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan tersebut.
Sebelum ini, Mohamad Hashim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 15 September lalu atas pertuduhan melakukan pecah amanah dengan mengutip penalti tersebut.
Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 19 Oktober depan.-UTUSAN











