PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada atlet karate negara, Adeola Fay Robert atas kejayaan membutirkan pingat emas pertama buat Malaysia di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun, hari ini.
Anwar turut berharap kejayaan atlet berusia 20 tahun itu mampu membakar semangat atlet-atlet negara yang menggalas cabaran Malaysia di temasya terbesar Asia empat tahun sekali tersebut.
“Teruskan berjuang dan harumkan nama Malaysia,” katanya menerusi laman X.
Adeola, yang membuat penampilan sulung pada Sukan Asia kali ini, mencipta kejutan apabila memenangi pingat emas selepas menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi, 6-4 pada final acara kumite bawah 55 kilogram (kg).
Kejayaan itu meneruskan momentum positif atlet dari Sabah itu selepas meraih pingat gangsa pada Sukan SEA Thailand 2025, Disember tahun lepas.
Pingat emas diraih Adeola hari ini turut menamatkan penantian skuad karate wanita Malaysia untuk kembali merangkul emas Sukan Asia apabila kali terakhir dimenangi Syakilla Salni pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.-UTUSAN











