Amaran serangan sampai ke Mekah, Jeddah

Amaran serangan sampai ke Mekah, Jeddah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Arab Saudi mengeluarkan amaran keselamatan di beberapa kawasan termasuk Mekah dan Jeddah semalam, susulan serangan berterusan pejuang bersekutu Iran yang menyebabkan kerajaan itu semakin terheret dalam konflik Asia Barat.

Amaran berkenaan bagaimanapun ditarik balik tidak lama kemudian, dengan pihak berkuasa Arab Saudi belum melaporkan sama ada terdapat sebarang projektil yang berjaya memasuki wilayahnya.

Tiada pihak juga segera mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.

Bagaimanapun, amaran itu adalah yang paling meluas sejak konflik tercetus lebih serius minggu lalu, selain menjadi amaran pertama membabitkan Makkah, kota suci yang menempatkan beberapa tempat paling penting bagi umat Islam.

Perkembangan itu berlaku ketika kumpulan Houthi yang disokong Iran menguasai sebahagian kawasan pantai Laut Merah di Yaman yang menghadap Bab al-Mandab sejak beberapa hari lalu.

Bab al-Mandab merupakan antara laluan perkapalan paling penting dunia dan kedudukannya memberi Houthi keupayaan mengancam penghantaran minyak Arab Saudi yang kini dialihkan dari Selat Hormuz.

Ketegangan yang semakin merebak ke beberapa kawasan baharu di Asia Barat turut memberi tekanan tambahan terhadap bekalan tenaga global.

Situasi itu berlaku ketika perang antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) memasuki bulan ketujuh, dengan pertempuran sebelum ini sudah menyebabkan trafik perkapalan melalui Selat Hormuz merosot ke paras amat rendah.

Kumpulan Houthi dalam tempoh seminggu lalu mengumumkan beberapa serangan besar terhadap Arab Saudi, termasuk serangan ke atas sebuah pangkalan udara pada Isnin yang menurut mereka sebagai tindak balas terhadap serangan udara ke atas Yemen.

Arab Saudi pula menuduh satu lagi kumpulan pro-Iran yang berpangkalan di Iraq sebagai dalang serangan pada Jumaat yang melumpuhkan satu daripada laluan pengangkutan minyak terpenting negara itu, iaitu Saluran Paip Timur-Barat yang merentasi kawasan gurun Arab.

Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright, berkata aliran minyak mentah dijangka kembali disalurkan menerusi saluran paip berkenaan dalam tempoh beberapa hari.

Sementara itu, gabungan tentera diketuai Arab Saudi yang memerangi Houthi di Yemen berkata 13 orang awam cedera dalam serangan kumpulan itu terhadap Arab Saudi pada Isnin.

Houthi minggu lalu melancarkan kemaraan pantas di sepanjang pantai barat Yaman, sebelum menguasai sebuah pulau di muara Laut Merah.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×