PETALING JAYA: Beregu pecah ganding negara, Aaron Chia-Tee Kai Wun mengesahkan pertembungan dengan pasangan No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan di peringkat 16 terbaik pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Aichi, Jepun, esok.
Pada peringkat 32 terbaik, hari ini, Aaron-Kai Wun mudah melakar kemenangan straight set ke atas wakil Taijikistan, Odilzhon Abdurakhimov-Dzhumaboi Saidov 21-6, 21-6 hanya dalam masa 18 minit.
Memandangkan Aaron-Kai Wun hanya digandingkan untuk temasya empat tahun sekali itu, maka, tiada rekod pertemuan berdepan Won Ho-Seung Jae.
Sementara itu, dalam aksi beregu wanita, gandingan No. 5 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah turut lulus ujian awal apabila membenam gandingan No. 9 dunia, Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum dari Indonesia 21-13, 21-11 dalam masa 39 minit di pusingan pertama.
Pada peringkat 16 terbaik, Pearly-Thinaah akan berdepan wakil Thailand, Napapakorn Tungkasatan-Haithaithip Mijad yang menghuni ranking No. 36 dunia.
Kedua-dua beregu belum pernah bertemu dalam sebarang kejohanan antarabangsa, tetapi, seandainya Pearly-Thinaah melepasi halangan Tungkasatan-Mijad, mereka berpotensi berdepan gandingan tuan rumah, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto yang menghuni ranking No. 3 dunia di suku akhir.
Sementara itu, dalam acara beregu campuran, dua pasangan negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan Chen Tang Jie-Cheng Su Yin tersingkir di pusingan kedua.
Beregu No. 10 dunia, Soon Huat-Shevon dikejutkan pasangan India yang berada di ranking ke-19 dunia, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto 20-22, 22-24 dalam masa 50 minit.
Pasangan pecah ganding, Tang Jie-Su Yin pula terpaksa akur kepada gandingan Korea Selatan, Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong 16-21, 22-20, 19-21 dalam masa 1 jam 15 minit. – UTUSAN











