JAKARTA: Tiga gunung berapi aktif Indonesia, Gunung Ibu, Gunung Lewotobi Laki-laki dan Gunung Semeru, meletus berturut-turut pada malam Selasa, menyebabkan abu vulkanik tersebar ke beberapa wilayah dan pihak berkuasa meningkatkan kesiapsiagaan.
Agensi Geologi di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral (ESDM) melaporkan Gunung Ibu di Halmahera Barat, Maluku Utara, mengalami tiga letusan dalam tempoh beberapa jam.
Letusan pertama berlaku pada 8.36 malam waktu Indonesia Timur, dengan kolum abu mencapai ketinggian 700 meter dari puncak gunung.
Letusan kedua direkodkan pada 8.58 malam dengan kolum abu setinggi 500 meter, sebelum letusan ketiga pada 11.11 malam menghamburkan abu vulkanik berwarna kelabu dan putih sejauh 600 meter ke arah timur.
Gunung Ibu kini berada pada Tahap Amaran II.
Sebelum letusan terakhir Gunung Ibu, Gunung Lewotobi Laki-laki di Flores Timur, Nusa Tenggara Timur, turut meletus pada 9.09 malam waktu Indonesia Tengah.
Gunung berapi itu memuntahkan kepulan abu tebal berwarna kelabu setinggi 300 meter ke arah barat dan barat laut. Pemantauan seismik merekodkan amplitud maksimum 11 milimeter selama 109 saat. Gunung berapi berkenaan kini berada pada Tahap Amaran III.
Hampir pada waktu sama, Gunung Semeru di Jawa Timur turut meletus pada 8.33 malam waktu Indonesia Barat.
Walaupun kepulan asap tebal menghalang pemantauan visual, seismograf merekodkan gegaran letusan dengan amplitud maksimum 22 milimeter selama 235 saat. Gunung Semeru juga kekal pada Tahap Amaran III.
Pihak berkuasa menetapkan zon larangan ketat dengan melarang semua aktiviti di sepanjang koridor Sungai Besuk Kobokan dalam lingkungan 13 kilometer dari puncak gunung.
Penduduk turut diingatkan supaya menjauhi tebing sungai sekurang-kurangnya 500 meter sehingga 17 km ke hilir berikutan risiko aliran piroklastik dan banjir lahar sejuk.
Mereka juga perlu mematuhi radius keselamatan lima kilometer dari kawah bagi mengelakkan ancaman runtuhan batu pijar.- ANTARA











