Tindakan Polis Kelantan perangi dadah berasas fakta

Tindakan Polis Kelantan perangi dadah berasas fakta

TENGKU Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bersama Saifuddin Nasution Ismail melawat reruai agensi di bawah KDN sempena Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah: Komuniti FELDA Sihat, Kedah Sejahtera di Felda Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan dalam membanteras penyalahgunaan dadah di negeri itu adalah berasas, memandangkan negeri itu berdepan masalah yang serius melibatkan pelbagai jajahan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau memahami gesaan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat agar tindakan lebih menyeluruh dilaksanakan memandangkan hampir tiada kawasan di negeri itu yang terlepas daripada ancaman dadah.

“Saya boleh faham latar belakang Ketua Polis Kelantan yang menggesa tindakan sedemikian kerana hampir tidak ada kampung yang terlepas daripada masalah ini.

“Jajahan seperti Kuala Krai, Bachok, Tanah Merah, Pasir Mas, Kota Bharu, Machang dan Rantau Panjang mencatatkan angka penyalahgunaan dadah yang serius,” katanya pada sidang akhbar Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah: Komuniti FELDA Sihat, Kedah Sejahtera di sini, hari ini.

Program berkenaan dirasmikan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin. 

Saifuddin berkata, tahap keseriusan masalah itu turut dapat dilihat melalui statistik penghuni penjara di negeri berkenaan dengan Penjara Pengkalan Chepa yang merupakan antara paling sesak di negara ini menempatkan banduan yang telah disabitkan kesalahan serta tahanan reman.

“Bagi setiap 100 penghuni di Penjara Pengkalan Chepa, kira-kira 75 peratus berkaitan kes dadah. Sebahagian besar melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

“Bagi setiap 100 penghuni di Penjara Machang pula, boleh dikatakan 95 daripadanya berkaitan kesalahan dadah. Itu menunjukkan betapa seriusnya masalah yang sedang dihadapi Kelantan,” katanya.

Mengulas sama ada pendekatan itu wajar diperluaskan ke negeri lain termasuk Kedah, Terengganu dan Perlis yang turut mencatatkan kadar penyalahgunaan dadah tinggi, Saifuddin berkata, perkara itu akan diputuskan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

“Mereka mempunyai pemetaan, profil dan maklumat lengkap yang memerlukan tindakan tertentu. Sama ada pendekatan Kelantan akan dicontohi di negeri lain atau kekal dengan kaedah sedia ada, itu akan diputuskan oleh JSJN Bukit Aman berdasarkan data dan penilaian mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Kedah terus berdepan ancaman serius penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang apabila sebanyak 11,524 kes direkodkan sepanjang suku pertama tahun ini, meskipun menunjukkan penurunan sebanyak enam peratus berbanding 12,259 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Ujar Saifuddin, kedudukan negeri itu yang berkongsi sempadan antarabangsa sepanjang kira-kira 100 kilometer dengan Thailand menyebabkan ia berisiko tinggi menjadi laluan kemasukan dadah ke negara ini.

“Selain faktor sempadan, kira-kira 640,800 belia berusia antara 15 hingga 30 tahun di Kedah turut terdedah kepada ancaman dadah sintetik baharu yang kini disalahgunakan melalui rokok elektronik dan vape.

“Di peringkat nasional, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) merekodkan seramai 100,882 penagih dan penyalah guna dadah atau bahan bagi tempoh Januari hingga Mac 2026 berbanding 108,409 orang dalam tempoh sama tahun lalu, iaitu penurunan sebanyak 6.9 peratus,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN