COLOMBO: Perkhidmatan kesihatan awam dan hospital di Sri Lanka sedang berdepan wabak denggi paling buruk dalam tempoh hampir sedekad, sekali gus mendorong kerajaan mendapatkan bantuan angkatan tentera bagi membendung penularan penyakit itu.
Usaha berkenaan merangkumi penggunaan dron Tentera Udara Sri Lanka untuk mengesan takungan air di bumbung bangunan selepas musim hujan monsun, selain anggota tentera dan polis membantu memeriksa rumah, tapak pembinaan serta sekolah bagi memusnahkan lokasi pembiakan nyamuk.
Sejak Januari lalu, wabak itu meragut 53 nyawa dan menjangkiti 76,044 orang.
Pihak berkuasa memaklumkan jumlah kes terus meningkat susulan penularan varian virus denggi yang lebih ganas, sekali gus menghampiri lebih 100,000 kes yang direkodkan ketika wabak besar pada 2017.
“Peningkatan pesakit yang berlaku dengan begitu pantas memberi cabaran besar kepada doktor. Secara tiba-tiba, hospital menerima kemasukan pesakit dalam jumlah yang sangat besar,” kata pakar perubatan, Lalindra Dias, yang bertugas di Negombo, antara kawasan paling terjejas, kira-kira 35 kilometer di utara Colombo.
Hospital daerah di Negombo merawat hampir 1,800 pesakit denggi dalam tempoh kurang dua bulan sejak Jun lalu, meningkat berbanding kira-kira 1,050 pesakit bagi tempoh sama pada 2025.
Menurut pihak berkuasa kesihatan, hospital di seluruh negara terpaksa menambah bilangan katil, menukar fungsi wad untuk merawat pesakit denggi serta meningkatkan waktu bekerja doktor dan jururawat susulan lonjakan lebih 18,000 kes dalam tempoh dua minggu pertama Julai.
Sebanyak 21,537 kes denggi direkodkan pada Jun lalu, iaitu lebih dua kali ganda berbanding Mei. Penyakit itu biasanya menyebabkan demam tinggi, sakit badan dan hilang selera makan, namun Sri Lanka masih belum memperkenalkan vaksin denggi.
Situasi itu menjadi lebih mencabar selepas Taufan Ditwah, bencana alam terburuk yang melanda negara itu pada penghujung November 2025, memusnahkan infrastruktur kritikal serta kemudahan kesihatan.
Bank Dunia menganggarkan kerugian akibat bencana itu mencecah AS$1.4 bilion (RM5.7 bilion).
Keadaan tersebut dijangka memberi tekanan kepada sistem kesihatan Sri Lanka meskipun negara itu mempunyai empat katil hospital bagi setiap 1,000 penduduk, lebih tinggi daripada purata global yang kurang daripada tiga katil bagi setiap 1,000 penduduk, menurut data Bank Dunia.- AGENSI










