RCI cadang TH wujudkan Jabatan Dana Haji

RCI cadang TH wujudkan Jabatan Dana Haji

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) dicadangkan mewujudkan sebuah jabatan khusus dikenali sebagai Dana Haji bagi mengurus dana pendeposit, sekali gus memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan tahap profesionalisme pengurusan pelaburannya.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkata, langkah itu membolehkan fungsi pengurusan pelaburan kekal di bawah TH tanpa perlu dijadikan sebuah syarikat subsidiari.

Menurutnya, fungsi berkenaan perlu diasingkan sebagai sebuah jabatan khusus yang boleh dinamakan sebagai Dana Haji.

“Dana Haji hendaklah dikanunkan dalam Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) dan dikawal oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Ini akan menjadikan Dana Haji lebih terlindung disebabkan kawal selia sebuah badan yang mempunyai keupayaan untuk menyelia entiti pengurusan modal.

“Adalah dicadangkan Dana Haji ini akan mentadbir dan mengurus dana pendeposit dan melaburkannya bagi mendapatkan pulangan yang stabil. Dana Haji hendaklah didaftarkan atau dilesenkan di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM),” katanya menerusi laporan RCI TH yang dikeluarkan hari ini.

Dalam pada itu, RCI turut mencadangkan agar fungsi pelaburan TH dikawal selia oleh Menteri Kewangan bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM).

Selain itu, pelantikan ahli Panel Pelaburan yang bertanggungjawab memberi panduan serta mengawal selia Dana Haji juga dicadangkan diletakkan di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan.

“Lembaga akan melantik pegawai-pegawai kanan yang lain seperti Ketua Pegawai Pelaburan dan mereka akan diselia oleh SSM,” katanya.

Bagi mengelakkan kekeliruan, RCI menegaskan lembaga tidak mempunyai kuasa untuk mengarah perkara berkaitan pelaburan Dana Haji.

Walau bagaimanapun, sebagai sebuah jabatan di bawah TH, RCI berkata, Dana Haji perlu melaporkan pencapaiannya kepada Lembaga secara berkala dan sistematik.

“Jabatan Audit dan Jawatankuasa Audit TH hendaklah diberi kuasa untuk mengakses dokumen dan perkara-perkara lain berkenaan dengan kewangan Dana Haji.

“Suruhanjaya berpandangan bahawa Dana Haji hendaklah diwujudkan sebagai struktur yang dikawal selia oleh SSM bagi meningkatkan tahap profesionalismenya.

“Ini adalah penting kerana saiz deposit TH pada masa ini berjumlah RM88 bilion dan dijangka akan meningkat kepada RM100 bilion dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Sementara itu, RCI berpandangan struktur sedia ada TH wajar dikekalkan dengan mengambil kira hasil laporan Ernst & Young (EY) dan Roland Berger (RB), khususnya bahagian atau pandangan yang bersesuaian untuk diterima pakai dalam usaha memperkukuh institusi berkenaan.

Menurutnya, fungsi pelaburan TH yang merangkumi pengurusan pelaburan dan pembayaran keuntungan hendaklah dilaksanakan secara bebas serta profesional supaya ia dilindungi daripada kelemahan yang pernah berlaku sebelum ini.

“Oleh kerana pembiayaan operasi haji perlu dilakukan secara terancang, kedua-dua fungsi pengurusan dana dan pengurusan haji perlu berada di dalam entiti yang sama terutamanya apabila terdapat unsur-unsur subsidi silang seperti yang diamalkan sekarang.

“Selagi subsidi menjadi amalan,pengasingan antara pembiaya dan pengurus haji akan menimbulkan masalah dalam operasi haji,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN