Ramsay-Peaty kecundang, bayang mahu bersara

Ramsay-Peaty kecundang, bayang mahu bersara

PEMENANG pingat emas Australia, Sam Williamson (tengah) meraikan kejayaan bersama pemenang perak dari Jersey, Filip Nowacki (kiri) dan pemenang gangsa England, Adam Ramsay-Peaty selepas majlis penyampaian pingat acara renang 100 meter kuak dada lelaki pada hari kedua Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Pusat Renang Antarabangsa Tollcross, Glasgow. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GLASGOW: Impian Adam Ramsay-Peaty untuk melakar sejarah muncul perenang England pertama memenangi emas dalam empat edisi Sukan Komanwel tidak kesampaian apabila sekadar meraih gangsa acara renang 100 meter (m) kuak dada, semalam.

Jaguh berusia 31 tahun itu dikejutkan Sam Williamson dari Australia yang muncul juara menerusi catatan 59.17 saat (s), manakala Filip Nowacki menghadiahkan pingat pertama buat Jersey dalam tempoh 36 tahun apabila meraih perak.

Kekalahan itu turut mencetuskan persoalan mengenai masa depan Ramsay-Peaty apabila beliau mengakui perlu mempertimbangkan sama ada mahu meneruskan karier menjelang Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.

“Dalam sukan ini kita melalui pelbagai detik suka dan duka. Saya perlu benar-benar memikirkan mengenai acara 100 meter kerana ia memerlukan komitmen yang sangat tinggi.

“Untuk kembali ke tahap terbaik saya, ia memerlukan pengorbanan sepenuhnya. Adakah itu keputusan yang tepat ketika saya bakal menjadi bapa kepada dua orang anak? Saya rasa tidak. Saya perlu memikirkannya dan melihat keadaan keluarga terlebih dahulu. Masih terlalu awal untuk membuat keputusan,” katanya.

Ramsay-Peaty bagaimanapun masih berpeluang menamatkan kempen dengan bergaya apabila akan beraksi dalam final 50m kuak dada, Isnin ini.

Sementara itu, Australia terus menguasai kolam renang apabila meraih lima daripada enam pingat emas yang dipertandingkan, termasuk menerusi Williamson, Sam Short, Mollie O’Callaghan, Alex Perkins serta acara berganti-ganti 4x100m gaya bebas campuran yang turut memecahkan rekod temasya.

Dominasi Australia itu melebarkan kedudukan mereka di tangga teratas carta pingat dengan 12 emas, jauh meninggalkan England dan Nigeria yang masing-masing mengumpul tiga emas selepas dua hari saingan di Glasgow. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×