DHAKA: Presiden Bangladesh, Mohammed Shahabuddin, yang juga sekutu rapat bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina, meletak jawatan daripada peranan yang sebahagian besarnya bersifat istiadat semalam atas faktor kesihatan.
Shahabuddin mengesahkan peletakan jawatannya dalam perbualan telefon dengan AFP.
“Ya, saya telah meletak jawatan,” katanya ketika ditanya mengenai spekulasi mengenai rancangan beliau untuk berundur sebelum menamatkan penggal penuhnya yang dijadual berakhir pada 2028.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut.
Dalam surat peletakan jawatan kepada Yang Dipertua Parlimen, Shahabuddin memaklumkan keadaan kesihatannya yang semakin merosot menjadi punca beliau mengambil keputusan itu.
“Akibat kemerosotan keupayaan fizikal dan mental… saya tidak lagi mampu melaksanakan tanggungjawab dengan sewajarnya bagi jawatan penting berperlembagaan seperti presiden,” menurut kandungan surat itu.
Shahabuddin, 76, yang lebih dikenali dengan gelaran ‘Chuppu’, dipilih sebagai presiden oleh Parlimen pada 2023 dengan sokongan parti Liga Awami yang dipimpin Hasina.
Apabila pemberontakan pelajar menggulingkan pemerintahan autokratik Hasina pada 2024, desakan supaya presiden turut disingkirkan semakin memuncak.
Shahabuddin turut dituduh menghubungi Hasina melalui telefon ketika bekas perdana menteri itu menjalani rawatan di London pada Mei lalu, namun beliau menafikan dakwaan berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Salahuddin Ahmed, daripada Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang memerintah, pada Khamis berkata kerajaan tidak dimaklumkan mengenai sebarang surat peletakan jawatan yang dikemukakan oleh presiden.
“Jika beliau mahu meletak jawatan, beliau perlu mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Yang Dipertua Parlimen mengikut Perlembagaan,” katanya kepada pemberita.- AFP










