PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi mengunjurkan perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM58 bilion bagi tahun 2027 agar agenda pembangunan negara dapat diteruskan secara mampan.
Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, unjuran itu merupakan cadangan awal kementerian sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.
Katanya, daripada jumlah tersebut, kira-kira 70 peratus akan tertumpu kepada pembangunan asas bagi menjamin kesinambungan penyelenggaraan dan pelaksanaan projek pembangunan negara.
“Dalam kita menguruskan pembangunan negara, khususnya melihat kepada perbelanjaan pembangunan, kerajaan meletakkan perbelanjaan itu kepada dua peringkat iaitu perbelanjaan mengurus (OPEX) dan perbelanjaan pembangunan (DE).
“Formula yang kita cuba kekalkan ialah 70 peratus daripada keseluruhan DE akan tertumpu kepada pembangunan asas,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di sini hari ini.
Beliau berkata, kepimpinan tertinggi kementeriannya kini sedang memuktamadkan perancangan pembangunan bagi tahun 2027 sebelum cadangan itu dikemukakan kepada MOF.
Menurut beliau, MOF kemudiannya akan meneliti keseluruhan cadangan tersebut sebagai sebahagian daripada proses penyediaan Belanjawan 2027.
Mengulas mengenai andaian harga minyak global dalam Belanjawan 2027, Akmal berkata, perkara itu turut diambil kira namun penilaian berhubung unjuran harga minyak adalah di bawah bidang kuasa MOF.
Katanya, tumpuan Kementerian Ekonomi ketika ini adalah memastikan keperluan perbelanjaan pembangunan negara dirancang dengan sebaiknya bagi menyokong agenda pembangunan jangka panjang.
“Penilaian dari segi mengimbangi keperluan fiskal termasuk unjuran harga minyak bagi tahun hadapan akan ditentukan di peringkat Kementerian Kewangan.
“Di peringkat kami, tumpuan lebih kepada perbelanjaan pembangunan dan memastikan pembangunan asas negara terus diberi keutamaan,” katanya. – UTUSAN










