Penganjuran kejohanan sukan perlu dapatkan permit - Utusan Malaysia

Penganjuran kejohanan sukan perlu dapatkan permit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Semua penganjuran program sukan atau kejohanan liga termasuk di peringkat akar umbi perlu mendapatkan kebenaran dan nasihat daripada kerajaan negeri atau badan pengelola sukan berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, pemakluman itu penting bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) sewajarnya diikuti sepanjang program berlangsung.

Bagaimanapun katanya, banyak program kejohanan sukan di negeri ini dianjurkan tanpa melalui proses yang sepatutnya.

“Saya minta penganjuran mana-mana program sukan perlu merujuk badan tertinggi sukan itu sama ada di peringkat Malaysia atau peringkat negeri. Kita tidak boleh anjurkan liga tanpa sebarang nasihat daripada badan persatuan.

“Banyak liga-liga haram yang dibuat di negeri ini tanpa ada ‘sanction’ daripada PBNJ (Persatuan Bolasepak Negeri Johor) mahu pun persatuan-persatuan daerah yang dipengerusikan oleh Pejabat Pegawai Daerah.

“Jadi bukan hanya bola sepak, tetapi semua sukan mesti dapatkan ‘sanction’ daripada persatuan-persatuan di negeri Johor ini. Itu saya akan tetapkan dalam mesyuarat yang akan datang,” katanya selepas majlis ‘clock in’ di Bangunan Dato’ Mohamad Ibrahim Munsyi, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dilaporkan meninggal dunia ketika menyertai kejohanan bola sepak bawah 12 Tahun (B-12) di sebuah pusat sukan, di sini kelmarin.

Tambah Mohd. Hairi, semakan dibuat mendapati kejohanan disertai mangsa tidak dimaklumkan kepada PBNJ atau Persatuan Bolasepak Johor Bahru (JBFA).

“Sehubungan itu, saya nasihatkan ibu bapa dan penjaga untuk memastikan apa-apa kejohanan sukan yang hendak disertai anak-anak mereka perlu mendapatkan kebenaran penganjuran terlebih dahulu.

“Akan datang, saya harap daripada segi keselamatan, perubatan dan sebagainya perlu diteliti semula. Saya minta PBNJ melihat insiden ini secara serius dan memanggil penganjur itu untuk memberi justifikasi tentang apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, PBNJ dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya akan mengambil langkah proaktif dengan memperketat syarat penganjuran kejohanan bola sepak yang dianjurkan pihak ketiga di negeri ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN