JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi tiba di Istana Bukit Serene di sini dipercayai untuk Majlis Istiadat Pelantikan Menteri Besar Johor hari ini.
Kenderaan Audi berwarna hitam dengan nombor pendaftaran JRA1 dinaikinya dilihat memasuki pekarangan istana pada pukul 3.42 petang.
Beliau dijangka dilantik kembali menerajui kerajaan negeri di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Pelantikan itu susulan kejayaan BN merekodkan kejayaan cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, semalam dengan memenangi 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 dipertandingkan.
Seawal pukul 2 petang tadi, petugas media dari pelbagai agensi mula berkumpul di hadapan pintu utama Istana Bukit Serene bagi membuat liputan majlis berkenaan.-UTUSAN










