La Roja sedia serap aksi ‘keras’ Argentina 

La Roja sedia serap aksi ‘keras’ Argentina 

RODRI-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Kapten Sepanyol, Rodri bersedia menghadapi pertembungan yang disifatkannya sebagai perlawanan yang ‘lebih fizikal’ menentang juara bertahan, Argentina apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026, esok.

Rodri berkata, Sepanyol akan cuba mengabaikan kemungkinan provokasi lawan dari Amerika Selatan itu, sebaliknya memberi tumpuan untuk melaksanakan pelan permainan pasukan.

Pemenang Ballon d’Or 2024 itu yang menyerlah di bahagian tengah Sepanyol sepanjang kempen Piala Dunia berkata, dia menjangkakan perlawanan akhir akan berbeza daripada mana-mana saingan yang pernah diharungi juara Eropah itu.

“Saya fikir perlawanan Isnin ini akan sangat berbeza. Ia akan menjadi perlawanan yang lebih fizikal dan kami mesti bersedia. Namun, saya percaya jika ada satu perkara yang sinonim dengan pasukan kebangsaan ini, ia adalah keupayaan kami untuk bermain dalam pelbagai situasi mengikut keperluan semasa.

“Jadi kami mampu menyesuaikan diri sama ada perlu bertahan, melakukan serangan balas atau menguasai permainan menyerang. Kami adalah sebuah pasukan yang sangat lengkap, dan itulah sebabnya kami berada di sini,” kata bintang Manchester City itu.

Apabila ditanya sama ada dia menjangkakan Argentina akan menggunakan taktik provokatif, Rodri berkata, itu adalah sebahagian daripada bola sepak.

“Kita akan lihat bagaimana perlawanan berlangsung. Saya lebih suka beranggapan bahawa Argentina ialah sebuah pasukan kebangsaan yang memberikan segala-galanya dan tidak terlalu bergantung kepada pendekatan seperti itu.

“Tetapi jika perlawanan memasuki fasa sedemikian, sudah tentu kami perlu mengabaikannya dan terus bermain mengikut corak permainan kami supaya kami tidak terperangkap dengan provokasi.”

Kapten Sepanyol itu turut memberikan penghormatan kepada kapten Argentina, Lionel Messi, yang hampir pasti akan beraksi dalam perlawanan Piala Dunia terakhir dalam kariernya, dengan menyifatkannya sebagai pemain terhebat sepanjang zaman. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN