Jepun lulus hukuman hina bendera kebangsaan

Jepun lulus hukuman hina bendera kebangsaan

JEPUN mempunyai undang-undang yang menghukum perbuatan mencemarkan bendera negara asing, namun tiada peruntukan yang sama untuk melindungi bendera kebangsaannya sendiri.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Parlimen Jepun meluluskan undang-undang kontroversi yang memperuntukkan hukuman jenayah terhadap perbuatan mencemarkan bendera kebangsaan negara itu.

Kelulusan undang-undang tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, untuk memperkukuh semangat patriotisme serta membetulkan ketidakseimbangan dalam undang-undang sedia ada.

Jepun mempunyai undang-undang yang menghukum perbuatan mencemarkan bendera negara asing bagi mengelakkan pertikaian diplomatik, namun tiada peruntukan yang sama untuk melindungi bendera kebangsaannya sendiri, Hinomaru.

Di bawah undang-undang baharu itu, individu yang secara terbuka merosakkan, menanggalkan atau mencemarkan bendera kebangsaan dengan menimbulkan ‘ketidakselesaan atau rasa jijik melampau’ kepada orang lain boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum 200,000 yen (RM5,119).

Menurut penyiar Jepun, Kyodo News, undang-undang itu meliputi perbuatan vandalisme secara fizikal seperti memijak, membakar atau melumur bendera dengan lumpur di tempat awam, selain menyiarkan perbuatan tersebut secara langsung menerusi platform penstriman.

Parti pemerintah menjelaskan undang-undang baharu itu tidak terpakai kepada karya seni seperti lukisan fizikal, media digital termasuk anime, manga, permainan video dan kandungan yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI) generatif. 

Ia juga mengecualikan bendera kertas bersaiz kecil yang biasa digunakan sebagai hiasan dalam hidangan kanak-kanak di restoran.

Bagaimanapun, pihak pembangkang, termasuk pakar perlembagaan dan ahli politik berhaluan liberal, berpendapat undang-undang yang digubal secara umum itu boleh mengancam kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perkara 21 Perlembagaan Jepun.- AL JAZEERA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN