PETALING JAYA: Seorang lelaki meninggal dunia selepas kereta dipandunya dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Tun Razak dekat sini, malam tadi.
Kejadian itu berlaku berhampiran Kedutaan Singapura membabitkan dua kenderaan dengan keseluruhan lapan mangsa.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira pukul 10.20 malam dan bergegas ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan serta tindakan awal berhubung insiden.
Katanya, pokok yang tumbang telah menghempap dua kenderaan sehingga mengalami kerosakan.
“Antara kenderaan terlibat adalah sebuah Honda Accord berwarna kelabu yang dipandu mangsa.
“Mangsa yang merupakan seorang lelaki Melayu berusia 43 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 4 pagi tadi.
“Dalam kejadian sama, sebuah lagi kenderaan iaitu Perodua Bezza berwarna putih dinaiki tujuh sekeluarga berbangsa Melayu turut terbabit dalam insiden berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, tujuh mangsa terlibat kini menerima rawatan di HKL dan pemeriksaan fizikal mendapati tiada sebarang kecederaan dikesan
Katanya, kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah selesai kira-kira pukul 12 tengah malam demi memastikan kawasan kejadian selamat untuk dilalui.
“Dua kenderaan yang dihempap pokok itu kemudiannya ditunda keluar dari Jalan Tun Razak bagi melancarkan semula aliran trafik di laluan berkenaan,” katanya. – UTUSAN










