Heritage Ride Taiping sasar 2,000 peserta

Heritage Ride Taiping sasar 2,000 peserta

Penganjur turut menjalinkan kerjasama dengan Zoo Taiping menerusi pemberian 1,000 tiket masuk percuma kepada peserta berdaftar, namun kesemua tiket itu habis ditebus sejurus pendaftaran dibuka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Heritage Ride Taiping 2026 meletakkan sasaran menghimpunkan 2,000 peserta pada edisi ketiga yang dijadual berlangsung di Dataran Warisan Taiping, Perak pada 25 Oktober ini, dengan lebih separuh daripada kuota penyertaan sudah pun dipenuhi.

Kayuhan anjuran Kelab Berbasikal Elit dengan kerjasama Gosportz Sdn. Bhd. itu dijangka terus mendapat sambutan peminat berbasikal dari seluruh negara, sekali gus mengangkat Taiping sebagai antara destinasi utama bagi aktiviti berbasikal dan rekreasi.

Acara yang bermula seawal pukul 7 pagi itu menawarkan gabungan perlumbaan kompetitif dan kayuhan santai sambil memberi peluang kepada peserta menikmati keunikan bandar warisan berkenaan.

Tiga kategori dipertandingkan membabitkan perlumbaan kompetitif sejauh 90 kilometer (km) dan 60km, selain kategori kayuhan santai 20km yang sesuai disertai penunggang rekreasi serta seisi keluarga.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh berkata, Heritage Ride bukan sekadar mempromosikan gaya hidup sihat, malah menjadi platform memperkenalkan nilai sejarah dan warisan bandar Taiping kepada masyarakat.

Katanya, Taiping dikenali sebagai ‘Bandar Pelbagai Yang Pertama’ di Malaysia kerana menjadi lokasi kepada pelbagai pencapaian bersejarah termasuk bandar terancang pertama, taman awam pertama serta landasan kereta api pertama negara.

“Heritage Ride memberi peluang unik kepada peserta untuk menghayati legasi Taiping sambil menggalakkan gaya hidup sihat serta menyokong ekonomi pelancongan tempatan,” katanya selepas menyempurnakan majlis memperkenalkan penaja dan pelancaran edisi ketiga Heritage Ride Taiping, hari ini.

Penganjur turut menjalinkan kerjasama dengan Zoo Taiping menerusi pemberian 1,000 tiket masuk percuma kepada peserta berdaftar, namun kesemua tiket itu habis ditebus sejurus pendaftaran dibuka.

Bagi menggalakkan penyertaan generasi muda, pelajar berusia antara tujuh hingga 17 tahun terus menikmati pendaftaran percuma hasil sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pendaftaran Heritage Ride Taiping 2026 dibuka sehingga 23 Ogos ini atau lebih awal sekiranya kuota 2,000 peserta berjaya dipenuhi, dengan setiap peserta bakal menerima kemeja-T rasmi, pingat penamat, beg cenderamata, sijil digital, manakala lima pelumba terbaik kategori 90km dan 60km akan membawa pulang hadiah wang tunai serta trofi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN