ARLINGTON: Ketua jurulatih Norway, Stale Solbakken menyifatkan Erling Haaland sebagai penyerang paling berbahaya dan terbaik dunia selepas meledak gol kemenangan ketika menewaskan Ivory Coast 2-1 dalam aksi kalah mati Piala Dunia 2026 di Stadium Dallas, semalam.
Kemenangan itu menyaksikan Norway mencatat sejarah tersendiri apabila melangkah ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia untuk berdepan Brazil, selain mengekalkan rekod cemerlang Haaland yang telah meledak lima gol dalam tiga perlawanan.
Solbakken dalam reaksinya selepas perlawanan menegaskan bahawa Haaland bukan sahaja penyerang terbaik dunia, malah merupakan aset paling berharga dalam pasukan Norway ketika ini.
“Tiada keraguan langsung tentang perkara itu. Hari ini dia tidak begitu banyak terlibat dalam permainan. Saya rasa dia hanya mempunyai satu peluang besar pada separuh masa pertama, tetapi sekali lagi dia menjaringkan gol kemenangan.
“Menjaringkan lima gol dalam tiga perlawanan Piala Dunia untuk sebuah negara kecil seperti Norway… saya tidak akan menukarnya dengan mana-mana pemain lain kerana dialah penjaring gol terbaik dalam dunia bola sepak ketika ini.
“Sangat menakjubkan dapat memiliki dia dalam pasukan. Kami bertuah memilikinya dan tugas kami hanyalah mencipta sebanyak mungkin peluang untuknya,” katanya.
Dalam perlawanan penuh dramatik itu, Haaland yang agak tenggelam sepanjang perlawanan muncul pada saat paling penting apabila menyempurnakan peluang pada minit ke-86 untuk menghadiahkan kemenangan bersejarah buat Norway.
Norway terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Antonio Nusa pada separuh masa pertama, sebelum Ivory Coast bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan Amad Diallo pada minit ke-74. -AGENSI










