BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) menuduh TikTok gagal melindungi kanak-kanak kerana tetapan akaun mereka mendedahkan pengguna bawah umur kepada risiko seperti buli siber dan tingkah laku pemangsa, sekali gus menyebabkan syarikat itu berdepan kemungkinan dikenakan denda.
EU berkata, akaun pengguna bawah umur sepatutnya hanya boleh dilihat oleh individu yang diberikan kebenaran oleh mereka. Kanak-kanak berusia 13 tahun ke atas kini dibenarkan menggunakan TikTok.
“Tahap perlindungan yang tinggi tidak sepatutnya menjadi pilihan yang perlu diaktifkan pengguna; ia sepatutnya menjadi tetapan lalai,” kata Ketua Teknologi EU, Henna Virkkunen, dalam satu kenyataan.
TikTok pula menegaskan syarikat itu komited untuk melindungi pengguna bawah umur dalam talian.
EU memperhebatkan usaha melindungi kanak-kanak menerusi peraturan baharu yang dijangka diperkenalkan lewat tahun ini, termasuk larangan penggunaan media sosial untuk kanak-kanak bawah 13 tahun.
Brussels memulakan siasatan terhadap TikTok milik syarikat China pada 2024 di bawah Akta Perkhidmatan Digital (DSA), undang-undang kandungan dan alat utama EU bagi mengawal selia syarikat teknologi besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Di bawah DSA, tetapan akaun kanak-kanak secara lalai perlu mempunyai tahap perlindungan keselamatan dan privasi paling tinggi.
“Pengaturan akaun TikTok gagal memenuhi piawaian ini kerana ia mendedahkan akaun dan kandungan pengguna bawah umur kepada capaian yang terlalu luas,” kata EU dalam pandangan awalnya.
Dalam siasatannya, EU mendapati pengguna bawah umur boleh menjadikan akaun mereka terbuka kepada umum, bermakna kandungannya boleh dilihat oleh sesiapa sahaja sama ada mempunyai akaun TikTok atau tidak.
Malah, walaupun kanak-kanak memilih untuk menetapkan akaun mereka sebagai peribadi, akaun berkenaan masih boleh ‘ditemukan dengan mudah’ melalui senarai pengguna lain yang mereka ikuti dan pengikutnya.
“Tetapan TikTok terus mendedahkan mereka kepada risiko termasuk hubungan tidak diingini, buli siber atau tingkah laku pemangsa,” kata EU dalam amarannya.
Brussels mengarahkan TikTok supaya mengubah tetapan lalai bagi akaun pengguna bawah umur yang ditetapkan sebagai awam, dengan memastikan kandungan hanya boleh dilihat oleh pengguna yang diterima oleh kanak-kanak berkenaan.
Jurucakap TikTok berkata, akaun remaja mempunyai lebih daripada 50 ciri privasi dan keselamatan yang telah ditetapkan, sambil menegaskan akaun pengguna bawah 18 tahun ditetapkan sebagai peribadi secara lalai.
“Kami akan meneliti penemuan awal ini sambil terus bekerjasama secara konstruktif dengan EU,” kata jurucakap itu.- AFP










