JOHOR BAHRU: Dua sindiket penipuan yang aktif menjalankan kegiatan penipuan secara dalam talian di Forest City, di sini tumpas apabila seramai 335 suspek majoritinya individu warga asing ditahan polis, 15 Julai lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, mereka yang ditahan melibatkan 309 warga China; 19 warga Indonesia; empat warga Myanmar dan tiga warga tempatan berusia.
Katanya, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 58 tahun itu ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan secara serentak terhadap 27 unit apartmen dan lima banglo yang dijadikan pusat operasi sindiket ‘calling centre’ berkenaan.
“Operasi ini berjaya melumpuhkan dua sindiket berbeza. Mereka dikesan menjalankan kegiatan penipuan dalam talian seperti pelaburan mata wang kripto dan ‘love scam’. Mangsa yang disasarkan melibatkan warga luar negara, khususnya China dan Indonesia.
“Menerusi serbuan itu, polis turut merampas 313 unit komputer; 1,557 telefon bimbit; 17 komputer riba; 10 modem; sebuah kenderaan jenis Mazda CX-8 serta pelbagai peralatan lain bernilai RM1 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Tambah Ab. Rahaman, sindiket pertama melibatkan seramai 279 suspek yang dipercayai menjalankan penipuan pelaburan mata wang kripto serta ‘love scam’.
“Mereka dikesan bergiat aktif menerusi aplikasi Telegram, WhatsApp dan TikTok bagi mencari mangsa sebelum menawarkan pulangan pelaburan tidak wujud. Kumpulan ini bertindak sebagai ejen pencari pelanggan dengan gaji bulanan antara RM2,500 hingga RM4,000.
“Manakala sindiket kedua pula melibatkan seramai 56 tangkapan, dengan 54 daripadanya merupakan warga China, manakala dua lagi warga tempatan. Mereka disyaki menyamar sebagai ejen dan menawarkan pelaburan mata wang kripto palsu kepada mangsa di luar negara,” katanya.
Ab. Rahaman turut memberitahu, siasatan dibuat turut mendapati sebahagian warga asing yang ditahan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
“Sebanyak 23 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Setakat ini 14 kertas siasatan sudah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan arahan pertuduhan diperoleh terhadap 194 orang kena tuduh (OKT).
“Seramai 159 OKT akan dituduh hari ini manakala baki 35 lagi akan didakwa esok di Mahkamah Majistret Johor Bahru. Sembilan lagi kertas siasatan masih menunggu arahan lanjut daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
Beliau bagaimanapun memaklumkan dalang utama sindiket berkenaan masih bebas dan sedang diburu, selain kedua-dua sindiket berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan sebuah premis tular yang dikendalikan warga asing di Forest City, baru-baru ini.-UTUSAN









