Dua beregu pecah ganding tersingkir awal di Terbuka China

Dua beregu pecah ganding tersingkir awal di Terbuka China

Aaron Tai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua beregu lelaki yang dipecah ganding, Aaron Chia-Aaron Tai dan Tee Kai Wun-Yap Roy King bermula dengan langkah kiri, apabila tunduk kepada lawan masing-masing pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka China di Jiangsu, China, hari ini.

Beregu yang memiliki jurang usia sembilan tahun, Aaron-Aaron tewas straight set kepada pasangan No. 8 dunia, Sabar Karyaman Guyana-Mohammad Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia 17-21, 19-21 dalam masa 38 minit.

Terbuka China yang berstatus Super 1,000 merupakan kejohanan sulung buat gandingan senior dan junior itu sejak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan untuk memisahkan beberapa beregu utamanya, bulan lalu.

Dalam aksi berdepan Sabar-Muhammad Reza, beregu negara itu bermain baik, cuma Aaron Tai kelihatan sedikit gugup dan sering kali melakukan kesilapan yang menghadiahkan mata percuma kepada lawan.

Pasangan ini masih tercari-cari keserasian dan Aaron Tai yang biasanya seorang pemain yang cukup lincah di dalam gelanggang kelihatan agak berhati-hati dalam setiap langkahnya.

Selain Aaron-Aaron, terdapat tiga lagi beregu pecah ganding yang turut beraksi pada Terbuka China iaitu Tee Kai Wun-Yap Roy King, Arif Junaidi-Kang Khai Xing dan Man Wei Chong-Soh Wooi Yik.

Kecuali Wei Chong-Wooi Yik yang telah melakukan penampilan pertama pada Terbuka Jepun, minggu lalu, dua lagi beregu beraksi buat kali pertama di China sejak digandingkan bersama.

Bagaimanapun, seperti mana Aaron-Aaron, Kai Wun-Roy King turut terkandas di peringkat 32 terbaik setelah tumpas di tangan rakan senegara, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong 23-25, 17-21 dalam masa 36 minit.

Kemenangan yang dicatat Azriyn-Wee Kiong, bakal menemukan mereka sama ada beregu No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan atau pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan di pusingan kedua, Khamis ini.

Sementara itu, dalam saingan beregu campuran, wakil Malaysia, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien turut ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan No. 3 dunia, Mathias Christiansen-Alexandra Boje dari Denmark 18-21, 13-21 dalam masa 36 minit. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN