NEW YORK: Piala Dunia 2026 membawa durian runtuh kepada kelab apabila Barcelona dijangka mengaut 2.89 juta euro (RM13.48 juta) menerusi Program Manfaat Kelab Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Kelab gergasi Sepanyol itu menjadi antara penerima bayaran tertinggi selepas seramai 16 pemainnya mewakili negara masing-masing sepanjang kempen Piala Dunia, termasuk beberapa tonggak yang bakal beraksi pada final antara Sepanyol dan Argentina awal pagi Isnin ini.
Walaupun FIFA meningkatkan dana keseluruhan Program Manfaat Kelab kepada AS$355 juta (RM1.44 bilion), jumlah pampasan yang diterima Barcelona sebenarnya lebih rendah berbanding edisi 2022 di Qatar apabila kelab itu memperoleh 4.43 juta euro (RM20.66 juta).
Keadaan itu berlaku susulan pertambahan jumlah negara bertanding daripada 32 kepada 48 pasukan menyebabkan dana yang lebih besar perlu diagihkan kepada lebih ramai pemain dan kelab di seluruh dunia.
Di bawah peraturan baharu FIFA, sebanyak AS$100 juta (RM407 juta) diperuntukkan bagi fasa kelayakan dengan bayaran AS$2,045 (RM8,323) untuk setiap pemain bagi setiap perlawanan, manakala AS$250 juta (RM1.02 bilion) lagi diagihkan sepanjang kejohanan utama pada kadar AS$4,330 (RM17,623) sehari bagi setiap pemain.
Mengikut peraturan FIFA, pampasan dibayar kepada kelab yang mendaftarkan pemain berkenaan dalam tempoh dua musim sebelum Piala Dunia, sekali gus menyaksikan pemain seperti Pau Cubarsi, Eric Garcia, Gavi, Pedri, Dani Olmo, Ferran Torres dan Lamine Yamal masing-masing menjana kira-kira 225,160 euro (RM1.05 juta) kepada Barcelona.
Bagi penjaga gol Joan Garcia pula, pampasan itu dibahagikan antara Barcelona dan Espanyol kerana pemain tersebut masih berdaftar bersama Espanyol pada musim 2024-25, dengan Barcelona menerima 150,106 euro (RM699,494) manakala Espanyol memperoleh baki 75,053 euro (RM349,747).
Selain itu, beberapa pemain lain turut menyumbang kepada jumlah keseluruhan bayaran diterima Barcelona termasuk Marcus Rashford 105,504 euro (RM491,649), Hamza Abdelkarim 94,819 euro (RM441,856), Anthony Gordon 70,723 euro (RM329,570) dan Joao Cancelo 54,414 euro (RM253,569).
Justeru, ini membuktikan Program Manfaat Kelab FIFA terus menjadi sumber pendapatan penting sebagai pampasan terhadap pelepasan pemain serta risiko kecederaan sepanjang tugasan antarabangsa. – AGENSI.










