WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) merekodkan wabak campak terburuk dalam tempoh 35 tahun apabila 2,318 kes dilaporkan setakat ini, melepasi jumlah keseluruhan yang dicatatkan sepanjang 2025.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), angka itu direkodkan ketika negara berdepan peningkatan ketara kes jangkitan apabila keraguan terhadap vaksin semakin meningkat.
Pada 2025, sebanyak 2,289 kes direkodkan bersama tiga kematian, termasuk dua kanak-kanak, menjadikannya tahun yang mencatat jumlah kes tertinggi.
“Kita sedang menyaksikan krisis yang sebenarnya boleh dicegah dan memberi kesan tidak seimbang terhadap kanak-kanak. Kita tidak sepatutnya menerima keadaan ini sebagai norma baharu,” kata Presiden Akademi Pediatrik Amerika, Andrew Racine.
Campak menyebabkan demam, gejala saluran pernafasan dan ruam pada kulit.
Dalam sesetengah kes, penyakit itu juga boleh mengakibatkan komplikasi lebih serius seperti radang paru-paru dan otak, selain menyebabkan kesan kesihatan jangka panjang serta membawa maut
Campak berjaya dihapuskan di AS pada 2000 hasil liputan imunisasi yang meluas.
Namun, penyakit itu kembali merebak sejak beberapa tahun kebelakangan ini susulan kadar vaksinasi yang semakin menurun dan peningkatan rasa tidak percaya terhadap pihak berkuasa kesihatan.
Setiausaha Kesihatan AS, Robert F. Kennedy Jr., yang dilantik di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, turut dikritik kerana menyumbang kepada krisis itu menerusi penyebaran sentimen antivaksin serta dakwaan mencetuskan keraguan terhadap keberkesanan dan keselamatan yang terbukti melalui kajian saintifik.
Kali terakhir AS merekodkan jumlah kes campak tertinggi adalah pada tahun 1991, apabila 9,643 kes dilaporkan.
Jumlah kes mula menurun dengan ketara selepas program imunisasi dua dos diperkenalkan sebagai amalan standard di negara itu.- AFP










