PETALING JAYA: Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) menyalurkan lebihan berjumlah sebanyak RM187,597 daripada Dana Peruntukan Tuntutan (CAF) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 kepada pelbagai badan kebajikan.
Agihan lebihan dana tersebut disumbangkan daripada dua produk Allianz4All Untuk Semua iaitu PerlindunganKu Allianz4All dan Group Personal Accident Allianz4All.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz General, Sean Wang berkata, usaha itu mencerminkan komitmen Allianz General untuk terus menyumbang kembali serta memberi impak yang positif kepada komuniti.
“Di Allianz General, komitmen kami untuk memberikan yang terbaik kepada masyarakat sekitar melangkaui produk dan perkhidmatan yang kami tawarkan.
“Kami berasa bangga dapat menyalurkan lebihan Dana Peruntukan Tuntutan ini kepada organisasi yang memberikan impak sebenar dalam kehidupan komuniti yang memerlukan.
“Usaha ini juga adalah sebahagian daripada dedikasi berterusan kami dalam membina daya tahan, merapatkan jurang perlindungan serta memperkasa individu dan komuniti melalui sokongan yang bermakna. Bersama pemegang polisi, kami sedang mencipta perubahan positif yang berkekalan,” katanya dalam kenyataan.
Pengagihan lebihan dana dibuat mengikut kategori yang dipilih berdasarkan pilihan individu pemegang polisi yang diberikan semasa pembelian produk Allianz4All Untuk Semua.
Memandangkan sebahagian besar pemegang polisi tidak menetapkan pilihan tertentu, lebihan CAF telah diperuntukkan kepada kategori amal berikut dan disalurkan kepada organisasi sosial.
Organisasi sosial tersebut adalah Yayasan Chow Kit (RM54,000), Persatuan Rumah dan Perkhidmatan Cheshire Sabah (RM25,000), Rumah Amal Cheshire Selangor (RM25,000) dan Persatuan Mobiliti Selangor, Kuala Lumpur (RM33,000) serta Persatuan Bantuan Bencana Alam MISAR Malaysia (RM50,597).
Pengagihan lebihan itu diselaraskan oleh cabang Tanggungjawab Sosial Korporat Allianz Malaysia yang berdedikasi, yang bertanggungjawab mengenal pasti dan menyokong organisasi amal yang berimpak tinggi kepada masyarakat. – UTUSAN










