MUAR: Seorang warga emas dihukum penjara 33 tahun beserta 14 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol dan melakukan perbuatan amang seksual terhadap cucunya sendiri.
Hakim, Mohd. Khairi Haron menjatuhkan hukuman itu selepas pihaknya berpuas hati dengan pengakuan bersalah dibuat tertuduh yang berusia 67 tahun terhadap lima pertuduhan dikenakan kepadanya.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan keempat, tertuduh yang juga bapa kepada tiga anak didakwa melakukan amang seksual terhadap cucunya yang berusia 12 tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Batu Pahat.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan penjara hingga 20 tahun dan sebatan manakala Seksyen 16 sebagai tambahan hukuman, penjara sehingga lima tahun dan sebatan tidak kurang dua kali.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa telah merogol mangsa sama dengan kejadian berlaku di lokasi sama antara Januari hingga Disember, tahun lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara hingga 30 tahun atau sebatan bagi setiap pertuduhan dikemukakan terhadapnya.
Manakala bagi pertuduhan kelima pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi kanak-kanak iaitu adik mangsa yang berusia sembilan tahun ketika kejadian di lokasi sama, tahun lalu.
Selain hukuman penjara dan sebatan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling sepanjang tahanan selain pengawasan polis selama tiga tahun sebaik selesai hukuman selari dengan Seksyen 26 dan 27 AKKSTKK.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Menurut fakta kes, pengadu yang juga mangsa pertama membuat laporan polis pada pukul 4.54 petang, 8 Jun lalu mendakwa telah dirogol sepanjang tinggal di rumah bersama datuknya.
Menerusi laporan itu, bilik dimana mangsa tinggal bersama adiknya di rumah terbabit dimasuki tertuduh ketika mereka sedang tidur sebelum melakukan perbuatan berkenaan.
Kejadian itu terbongkar selepas mangsa pertama menceritakan kepada ibunya berhubung perkara itu.-UTUSAN










