33,145 warga asing ditahan hasil 5,430 operasi seluruh negara

33,145 warga asing ditahan hasil 5,430 operasi seluruh negara

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seramai 33,145 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk bekerja, hasil 5,430 operasi di seluruh negara tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan itu diambil menerusi 5,430 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di seluruh negara melibatkan pemeriksaan terhadap 76,681 individu.

Katanya, seramai 868 majikan turut dikenakan tindakan kerana menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa permit kerja dan pas yang sah.

“Daripada jumlah itu, 825 majikan adalah warga tempatan manakala 43 lagi merupakan warga asing.

“Kita tidak menafikan terdapat segelintir warga asing yang memasuki negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial, namun kemudiannya menyalahgunakan kemudahan itu untuk bekerja atau menjalankan perniagaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Zakaria berkata, isu penyalahgunaan pas lawatan sosial sering menjadi perhatian masyarakat kebelakangan ini, namun tanggungjawab menangani masalah tersebut tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa.

Katanya, majoriti pihak yang menggaji dan memberi perlindungan kepada warga asing tanpa dokumen sah adalah rakyat tempatan sendiri.

“Kalau kita lihat statistik, hampir 95 peratus majikan yang diambil tindakan merupakan warga tempatan. Mereka inilah yang memberi ruang kepada warga asing untuk berada dan bekerja secara tidak sah di negara ini.

“Justeru, kita tidak akan lagi berkompromi dan tindakan lebih tegas akan diambil terhadap mana-mana majikan yang menggaji atau melindungi pekerja asing tanpa permit dan pas yang sah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sehingga 14 Jun lalu, seramai 22,151 tahanan ditempatkan di depot imigresen di seluruh negara.

Katanya, pengurusan tahanan melibatkan kos yang tinggi kepada kerajaan termasuk bagi penyediaan makanan, utiliti, kemudahan serta rawatan perubatan.

“Tindakan penguatkuasaan dipertingkatkan dari semasa ke semasa dengan memberi tumpuan kepada lokasi berisiko tinggi seperti premis perniagaan, restoran, gerai makanan, pusat urut, pasar awam, pasar borong, premis cucian kenderaan dan sektor kawalan keselamatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN