Kerajaan daftar semua pelarian bagi peroleh data tepat

Kerajaan daftar semua pelarian bagi peroleh data tepat

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang melaksanakan pendaftaran menyeluruh terhadap semua pelarian di negara ini, termasuk yang tidak memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), bagi mendapatkan data lebih tepat mengenai jumlah sebenar golongan tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kerajaan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada rekod UNHCR kerana jumlah sebenar pelarian dipercayai lebih tinggi daripada data sedia ada, sekali gus membolehkan pemantauan dan pengurusan mereka dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Katanya, berdasarkan rekod UNHCR terdapat lebih 200,000 pemegang kad berkenaan di negara ini, namun pihaknya percaya masih ramai pelarian yang belum berdaftar.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang melaksanakan program pendaftaran pelarian yang kini memasuki fasa pertama dan akan diteruskan sehingga penghujung tahun bagi memastikan semua pelarian dikenal pasti serta direkodkan,” katanya pada sidang akhbar Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Asas dan Sijil Tinggi Keimigresenan Siri 1 Tahun 2026 di Akademi Imigresen Malaysia (AIMM), di sini, hari ini. Majlis disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr. Awang Alik Jeman.

Zakaria berkata, pelarian yang berada di negara ini datang dari kira-kira 140 negara dengan majoritinya terdiri daripada etnik Rohingya.

Katanya, tindakan penguatkuasaan terhadap pelarian tetap dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang imigresen dengan individu yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan atau perjalanan boleh ditahan dan ditempatkan di depot imigresen.

Bagaimanapun, katanya, pemegang kad UNHCR yang sah tidak boleh ditahan semata-mata kerana tidak mempunyai dokumen imigresen atas pertimbangan kemanusiaan.

“Kita hanya akan membuat pemeriksaan bagi mengesahkan kesahihan kad UNHCR. Jika didapati tulen, mereka akan dibebaskan. Namun, pemegang kad UNHCR tetap boleh dikenakan tindakan sekiranya terlibat dalam sebarang kesalahan jenayah mengikut undang-undang negara,” katanya.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan JIM tidak mempunyai data spesifik mengenai jumlah sebenar pelarian etnik Rohingya di negara ini. Setakat 10 Jun lalu, seramai 5,814 warga Myanmar etnik Rohingya direkodkan berada di depot imigresen di seluruh negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN