Vinicius terus menyinar, Ancelotti puji antara terbaik dunia

Vinicius terus menyinar, Ancelotti puji antara terbaik dunia

Carlo Ancelotti
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI: Jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti menyifatkan Vinicius Junior sebagai antara pemain terbaik dunia selepas penyerang itu meneruskan aksi cemerlangnya di pentas Piala Dunia dengan menjaringkan dua gol ketika membantu Brazil menewaskan Scotland 3-0, semalam.

Kemenangan tersebut membolehkan Brazil mara ke pusingan 32 terbaik sebagai juara Kumpulan C, dengan Vinicius sekali lagi menjadi watak utama apabila meledak dua gol pada separuh masa pertama termasuk menerusi satu tandukan yang jarang dilakukan pemain berusia 25 tahun itu.

Ancelotti berkata, dia tidak pernah meragui kemampuan Vinicius untuk menyerlah bersama skuad kebangsaan selepas menunjukkan prestasi konsisten sepanjang kejohanan.

“Saya sudah tahu apa yang mampu dilakukan Vinicius. Bermain untuk Brazil adalah satu penghormatan besar buat dirinya dan dia sentiasa memberikan yang terbaik.

“Dia bermain dengan sangat baik dan menjaringkan gol melalui tandukan, sesuatu yang jarang kita lihat daripadanya. Pada pandangan saya, dia adalah antara pemain terbaik di dunia ketika ini,” katanya.

Vinicius kini telah menjaringkan empat gol daripada tiga perlawanan selepas turut mencatatkan nama sebagai penjaring ketika seri 1-1 dengan Maghribi serta kemenangan 3-0 ke atas Haiti.

Pemain Real Madrid itu kini berkongsi kedudukan dengan Kylian Mbappe dan Erling Haaland dalam saingan merebut anugerah Kasut Emas, hanya satu gol di belakang Lionel Messi.

Lebih membanggakan, Vinicius menjadi pemain Brazil pertama yang menjaringkan gol dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia sejak Ronaldo dan Rivaldo melakukannya pada edisi 2002.

Sebelum ini, hanya Jairzinho pada 1970 dan Romario pada 1994 pernah mencipta pencapaian sama, sekali gus meletakkan Vinicius dalam kelompok legenda bola sepak Brazil.

“Saya tidak terlalu memikirkan soal jumlah gol. Saya bukan pemain yang biasa menjaringkan banyak gol, namun jurulatih telah meletakkan saya di posisi yang sesuai dan saya semakin serasi.

“Apa yang penting adalah membantu pasukan serta memastikan kami terus mara dalam kejohanan ini,” kata Vinicius.

Dalam perlawanan sama, Matheus Cunha turut menyumbang satu gol sebelum digantikan Neymar yang membuat penampilan pertamanya bersama Brazil sejak Oktober 2023.

Ancelotti memuji kesungguhan Neymar untuk kembali cergas selepas melalui tempoh pemulihan yang panjang.

“Dia bekerja keras untuk kembali ke tahap terbaik. Neymar mempunyai pengalaman dan kualiti yang mampu membantu pasukan sepanjang kejohanan ini.

“Walaupun sudah berusia 34 tahun, semangatnya untuk bermain bola sepak masih sama seperti ketika dia mula-mula menceburi sukan ini,” katanya.

Brazil dijadual berdepan naib juara Kumpulan F dalam aksi pusingan 32 terbaik minggu depan, dengan Belanda, Jepun dan Sweden masih berpeluang menjadi lawan mereka.

Menurut Ancelotti, pasukannya kini menunjukkan peningkatan ketara berbanding perlawanan pembukaan dan semakin mantap menjelang fasa kalah mati.

“Kami semakin kurang melakukan kesilapan, bermain dengan rentak yang lebih baik dan lebih tajam di hadapan gol.

“Masih ada perkara yang perlu diperbaiki, namun saya gembira dengan perkembangan pasukan. Dalam pusingan kalah mati, kekuatan sebagai satu unit adalah perkara paling penting,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN