WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memperkenalkan reka bentuk pasport edisi terhad baharu sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan negara itu, yang turut menampilkan wajahnya.
Beliau akan menjadi presiden AS pertama yang masih berkhidmat, di mana gambarnya dipaparkan dalam dokumen perjalanan rakyat Amerika.
Dalam hantaran di platform media sosial Truth Social, Trump memuat naik model contoh tersebut dan menyifatkan dokumen itu sebagai pasport baharu AS.
“Pasport baharu AS yang bertulis, ‘Selamat datang, tetapi jadilah baik’,” tulis Trump.
Reka bentuk berkenaan memaparkan imej Trump berwajah serius bersandar di meja bersama tandatangannya, dengan latar teks Deklarasi Kemerdekaan. Ia dipercayai potret yang diambil oleh jurugambar Rumah Putih, Daniel Torok.
Pada halaman bertentangan, turut dipaparkan lukisan yang menggambarkan penandatangan Deklarasi Kemerdekaan pada 1776 serta tulisan ‘United States of America 250’.
Rumah Putih turut berkongsi reka bentuk sama dengan label ‘Patriot Passport’. Sebelum ini, Jabatan Negara AS memaklumkan pasport peringatan dengan ‘karya seni tersuai’ akan tersedia mulai 6 Julai.
April lalu, seorang pegawai jabatan berkata, pasport bertemakan Trump itu hanya akan tersedia melalui janji temu secara bersemuka di Washington.
Trump dilihat semakin agresif meletakkan pengaruh peribadinya dalam institusi kerajaan, dengan beberapa sepanduk bergambar presiden itu dikibarkan di luar bangunan kerajaan, manakala Jabatan Perbendaharaan pula mengumumkan tandatangannya akan turut muncul pada wang satu dolar tidak lama lagi.
Pemimpin Republikan itu juga pernah menambah namanya pada Pusat Seni Persembahan John F. Kennedy, sebelum mahkamah memutuskan supaya ditanggalkan semula.- AFP










