MONACO: Pelumba Mercedes, George Russell mula melancarkan perang psikologi dengan menegaskan segala tekanan perebutan gelaran juara dunia kini berada sepenuhnya di bahu rakan sepasukannya, Kimi Antonelli.
Ketika saingan semakin sengit, Russell enggan tunduk kepada desakan luar dan menyifatkan kedudukan Antonelli yang sedang mendahului carta ketika ini meletakkan pelumba muda itu dalam situasi ‘wajib menang’.
Menurut pemandu kelahiran Britain itu, dia kini berada pada posisi yang lebih selesa selaku pencabar yang memburu kedudukan takhta tanpa sebarang bebanan mental yang berat.
“Bagi saya, ini adalah kejuaraan yang berada dalam genggaman Antonelli untuk dipertahankan atau dilepaskan,” katanya.
Russell menambah, Antonelli yang sedang mendahului kedudukan pungutan mata ketika ini memikul bebanan lebih besar untuk memastikan kelebihan tersebut tidak tercicir dalam baki perlumbaan.
Beliau turut menjelaskan statusnya selaku pelumba yang lebih berpengalaman tidak bermakna dia harus berasa runsing dengan kebangkitan mendadak rakan sepasukannya itu.
Sebaliknya, Russell melihat persaingan dalaman kem Mercedes ini sebagai satu suntikan positif yang membuktikan keupayaan jentera mereka untuk mendominasi litar pada musim ini.
Persaingan sengit “perang saudara” antara dua pemandu tersebut terus mencuri tumpuan peminat sukan permotoran dunia selepas mereka saling bertukar kedudukan podium dalam beberapa perlumbaan terakhir.
Meskipun spekulasi mengenai ketegangan hubungan mula bertiup kencang, pengurusan Mercedes setakat ini menegaskan kedua-dua pemandu diberikan kebebasan sepenuhnya untuk berlumba secara sihat demi memburu kejuaraan mutlak. – AGENSI.










