Sze Fei-Izzuddin wakil tunggal Malaysia ke separuh akhir

Sze Fei-Izzuddin wakil tunggal Malaysia ke separuh akhir

Goh Sze Fei dan Nur Izzudin Rumsani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani menjadi wakil tunggal Malaysia mara ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Jakarta, Indonesia, esok.

Gandingan No. 8 dunia itu membenam pasangan ke-30 dunia, Hariharan Amsakarunan-M. R. Arjun 21-12, 21-10 dalam masa 32 minit pada suku akhir di Istora Senayan, hari ini.

Sze Fei-Izzuddin yang belum pernah bertemu beregu India itu dalam mana-mana kejohanan antarabangsa, kini mendahului dengan rekod pertemuan 1-0.

Pada separuh akhir, Sze Fei-Izzuddin akan berdepan sama ada juara bertahan yang juga gandingan No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan atau pasangan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen.

Sementara itu, dalam saingan beregu wanita, gandingan No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah dikejutkan Rui Hirokami-Sayaka Hobara dari Jepun 20-22, 16-21 dalam masa 46 minit.

Kekalahan tersebut merupakan kali pertama dialami Pearly-Thinaah dalam tiga perlawanan menentang pasangan ke-13 dunia itu dan sekali gus menjadikan rekod pertemuan kedua-dua beregu kini menjadi 2-1.

Turut mengiringi Pearly-Thinaah tersingkir di peringkat lapan terbaik adalah beregu campuran No. 12 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai.

Pasangan suami isteri itu bermain dengan cukup baik, namun, tuah tidak menyebelahi mereka apabila tumpas dalam pertarungan sengit kepada gandingan No. 6 dunia, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-15, 18-21, 20-22 dalam masa 1 jam 10 minit.

Ekoran kekalahan tersebut, Soon Huat-Shevon kini semakin ketinggalan di belakang wakil Perancis itu yang juga merupakan juara edisi lalu dengan rekod pertemuan 3-7.

Mengulas mengenai kekalahan tersebut, Shevon berkata, dia sedia maklum Gicquel-Delrue merupakan beregu yang bijak mengganggu momentum lawan.

“Kami sedar tentang perkara itu, kami tahu mereka akan bertindak sedemikian dalam situasi tersebut. Jadi kami tidak mengambil mudah. Mendapatkan beberapa mata (melalui gangguan) adalah sesuatu yang normal bagi pasangan ini.

“Kami sudah bersedia untuk itu. Jadi pada kedudukan 20-20, kami cukup bersedia untuk kembali bangkit, tetapi malangnya keadaan berlaku terlalu pantas dan kemenangan berpihak kepada lawan,” katanya mengulas mengenai insiden dia dan Soon Huat ditegur pengadil kerana melengah-lengahkan permainan.

Walaupun sukar untuk menerima teguran pengadil yang disifatkannya agak berat sebelah, tetapi, kata Shevon, sebagai atlet dia perlu menghormati di atas semangat kesukanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN