INGLEWOOD: Switzerland menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan kalah mati apabila membelasah Bosnia dan Herzegovina 4-1 dalam aksi kedua Kumpulan B Piala Dunia 2026 di Stadium Los Angeles, sebentar tadi.
Selepas kedua-dua pasukan sekadar mencatat keputusan seri dalam perlawanan pembukaan, Switzerland tampil lebih agresif dan menguasai sebahagian besar permainan, namun kekebalan benteng Bosnia menyaksikan kedudukan masih terikat tanpa jaringan sehingga melepasi sejam permainan.
Kebuntuan akhirnya terlerai pada minit ke-74 menerusi pemain muda sensasi, Johan Manzambi yang meledak gol pembukaan sejurus dimasukkan dari bangku simpanan.
Gol itu nyata menyuntik semangat Switzerland untuk terus mengasak pertahanan lawan bagi menggandakan jaringan.

Bosnia kemudian menerima tamparan hebat apabila Tarik Muharemovic dilayangkan kad merah pada minit ke-80 selepas mengasari Breel Embolo, sekali gus memaksa mereka beraksi dengan 10 pemain dalam tempoh kritikal perlawanan.
Kelebihan jumlah pemain dimanfaatkan sepenuhnya oleh Switzerland apabila Ruben Vargas menggandakan kelebihan pada minit ke-84 sebelum Manzambi melengkapkan jaringan peribadinya enam minit kemudian untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Bosnia bagaimanapun sempat merapatkan jurang menerusi rembatan kencang Ermin Mahmic pada masa kecederaan, namun Switzerland menutup tirai perlawanan dengan gol keempat beberapa minit kemudian bagi melengkapkan kemenangan bergaya 4-1 menerusi sepakan penalti yang disudahkan oleh Granit Xhaka.
Kemenangan itu meletakkan Switzerland di landasan terbaik untuk mara ke pusingan seterusnya selaku pendahulu Kumpulan B dengan empat mata, manakala Bosnia kini berada dalam keadaan terdesak dan wajib menewaskan Qatar dalam aksi terakhir kumpulan jika mahu terus menghidupkan peluang ke pusingan kalah mati.-AGENSI










