NILAI: Pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila merangkul pingat emas acara Keirin lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2026 di Velodrom Nasional, sebentar tadi.
Kejayaan itu hadir selepas Shah Firdaus menewaskan rakan sepasukannya, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, manakala gangsa menjadi milik Muhammad Fahil Mohd Zonis.
Lebih manis, kemenangan tersebut menyaksikan Shah Firdaus kembali merampas gelaran Keirin kebangsaan yang kali terakhir dimenanginya pada edisi 2022.

Menurut Shah Firdaus, dia tidak menjangkakan perlumbaan akhir berlangsung dengan corak sedemikian apabila pelumba berpengalaman Indonesia, Aris Saleh yang dijangka mengawal perlumbaan bertindak melakukan pecutan awal.
“Azizul berada di belakang saya, jadi saya perlu melarikan diri daripadanya. Alhamdulillah, posisi saya juga agak baik dan tidak terlalu jauh di belakang.
“Lebih menggembirakan apabila saya berjaya mendapatkan semula gelaran ini selepas beberapa tahun,” katanya.
Meskipun tampil sebagai juara, Shah Firdaus mengakui tahap kecergasannya masih belum mencapai 100 peratus susulan kecederaan yang dialaminya sebelum ini.
“Saya belum pulih sepenuhnya. Kekuatan kaki kanan masih belum sama seperti kaki kiri dan saya masih perlu menguruskan beban latihan dengan baik.
“Kadang-kadang apabila menggunakan gear yang terlalu berat, kawasan kecederaan akan kembali terasa sakit. Jadi saya tidak boleh memaksa diri setiap hari.
“Bagaimanapun, pasukan dan fisioterapi banyak membantu saya sepanjang proses pemulihan ini,” katanya.
Sementara itu, pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri turut menepati ramalan apabila meraih pingat emas acara Keirin wanita.

Pingat perak dimenangi Nur Alyssa Mohd Farid, manakala gangsa menjadi milik Anis Amira Rosidi.
Menurut Nurul Izzah, kemenangan tersebut memberi suntikan keyakinan menjelang beberapa kejohanan penting antarabangsa yang bakal diharungi tahun ini.
“Alhamdulillah, saya gembira dapat meraih pingat emas hari ini. Persaingan memang sengit terutamanya daripada Alyssa yang kembali beraksi dalam kejohanan kebangsaan.
“Kemenangan ini penting untuk menambah mata ranking UCI dan pada masa sama meningkatkan keyakinan saya bagi menghadapi kejohanan-kejohanan selepas ini.
“Saya akan terus bekerja keras untuk memperbaiki prestasi dan mengumpul sebanyak mungkin mata bagi memastikan kedudukan yang lebih selesa dalam ranking dunia,” katanya.
Kemenangan Shah Firdaus dan Nurul Izzah sekali gus menyerlahkan dominasi pelumba elit negara dalam acara Keirin menjelang beberapa kejohanan antarabangsa penting musim ini.
“Jadi untuk lebih selamat, kami perlu mendapatkan lebih banyak mata supaya berada dalam kedudukan yang lebih selesa untuk layak ke Kejohanan Dunia,” katanya.-UTUSAN










