KANSAS CITY: Pengendali Austria, Ralf Rangnick mengakui beliau sendiri terpegun dengan dramatik aksi penuh debaran yang menyaksikan pasukannya mengikat Algeria 3-3 dalam perlawanan terakhir Kumpulan J Piala Dunia, sekali gus mengesahkan kedua-dua pasukan mara ke pusingan 32 terakhir.
Rangnick menyifatkan 90 saat terakhir perlawanan sebagai sesuatu yang sukar dipercayai apabila Austria yang ketinggalan 3-2 di ambang kekalahan, bangkit menyamakan kedudukan menerusi tandukan Sasa Kalajdzic pada minit ke-96 selepas dimasukkan dari bangku simpanan.
“Sejujurnya, saya tiada kata-kata untuk menggambarkan apa yang berlaku dalam 90 saat terakhir. Saya rasa saya tidak pernah mengalami situasi seperti ini sebelum ini, dan mungkin ramai juga tidak pernah melihatnya kami ketinggalan, masa hampir tamat, tetapi pertukaran pemain mengubah segalanya. Luar biasa,” tambahnya.
Perlawanan penuh emosi itu turut menyaksikan Algeria hampir meraih kemenangan menerusi jaringan kapten mereka, Riyad Mahrez, sebelum Austria menyamakan kedudukan di saat akhir.
Keputusan seri itu membolehkan Austria muncul naib juara kumpulan dan akan menentang Sepanyol di pusingan kalah mati, manakala Algeria layak sebagai salah satu pasukan tempat ketiga terbaik untuk berdepan Switzerland.
Suasana di Stadium Kansas City turut menjadi lebih dramatik apabila lagu “Don’t Stop Believin’” berkumandang selepas wisel penamat, ketika kedua-dua pasukan meraikan kejayaan mara ke peringkat seterusnya.-AGENSI










