KANSAS CITY: Ketua jurulatih Tunisia, Herve Renard menggesa anak buahnya agar menamatkan kempen Piala Dunia dengan penuh bermaruah meskipun pasukan itu sudah tersingkir awal.
Pengendali dari Perancis itu dilantik minggu lalu bagi menggantikan Sabri Lamouchi yang dipecat susulan kekalahan besar 5-1 kepada Sweden dalam aksi pembukaan.
Bagaimanapun, harapan kebangkitan tidak kesampaian apabila Tunisia terus diaibkan 4-0 oleh Jepun sekali gus mengesahkan penyingkiran awal mereka daripada kejohanan.
Renard berkata, dia kecewa dengan prestasi ditampilkan pasukan itu dan mengakui tidak berjaya menyampaikan mesej yang diharapkan kepada pemain.
“Selepas perlawanan menentang Jepun, apa yang saya rasakan lebih daripada segalanya ialah rasa malu terhadap penyokong Tunisia,” katanya pada sidang media di Arrowhead Stadium menjelang pertemuan menentang Belanda, hari ini.
“Saya tidak berpuas hati kerana tidak dapat menyampaikan apa yang saya mahu kepada pemain,” katanya.
Renard turut menegaskan bahawa skuad Tunisia perlu bangkit dan menamatkan saingan dengan keputusan positif apabila berdepan Netherlands dalam aksi terakhir kumpulan.
“Bola sepak menuntut maruah walaupun dalam situasi sukar. Kita perlu berdepan keadaan ini dengan penuh harga diri hingga ke akhir,” katanya.
Tambahnya, walaupun Tunisia menunjukkan prestasi cemerlang dalam kelayakan Afrika tanpa kalah dan tanpa bolos, pasukan itu gagal mengekalkan momentum selepas tersingkir di peringkat kalah mati Piala Negara-Negara Afrika.
Renard yang pernah membimbing Arab Saudi pada kempen Piala Dunia 2022, turut tidak mengulas lanjut mengenai masa depannya bersama pasukan itu selepas kejohanan.
“Kami masih ada satu perlawanan lagi dan selepas itu kita akan menilai keadaan,” katanya. – AFP










