JOHOR BAHRU: Rakyat Johor akan menentukan sama ada agenda Maju Johor 2030 serta Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) berjaya dilaksanakan atau tidak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tidak lama lagi.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri terdahulu penting bagi memastikan perancangan dan pembangunan yang telah dimula sejak empat tahun lalu dapat diteruskan dengan lancar.
Katanya, Johor kini di landasan terbaik mencapai sasaran itu susulan pelbagai pencapaian telah diraih termasuk rekod pelaburan, pertumbuhan ekonomi tinggi dan peningkatan hasil negeri.
“Pilihan kini di tangan rakyat Johor. Sama ada mereka mahu meneruskan pelan pembangunan Maju Johor ataupun memilih haluan yang lain.
“Kita sudah berada di pertengahan perjalanan. Asas telah dibina dan hasilnya sudah mula kelihatan, kini tanggungjawab kita semua adalah memastikan perjalanan ini sampai ke garisan penamat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Transformasi Ekonomi Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.
Sementara itu, dalam ucapannya, beliau berkata, JETP akan menjadi pemangkin utama kepada merealisasikan agenda Maju Johor 2030.
“Usaha ini digerakkan menerusi enam teras utama melibatkan tadbir urus kerajaan; pembangunan ekonomi; jaringan keselamatan sosial; kemudahan dan keperluan asas; keselamatan serta kelestarian dan pembangunan orang muda.
“Johor hanya akan kuat apabila rakyatnya kekal bersama. Saya perlukan orang Melayu, Cina, India, Orang Asli dan seluruh lapisan masyarakat untuk terus berdiri seiring. Kekuatan Johor bukan terletak pada satu kaum, tetapi pada kesatuan semua. Inilah semangat Bangsa Johor,” katanya.
Tambah Onn Hafiz, JETP bukan sekadar pelan ekonomi yang mensasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sebanyak RM260 bilion menjelang 2030, tetapi bertujuan rakyat Johor turut memberi manfaat kejayaan tersebut.-UTUSAN









