JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor bertekad untuk mendapatkan mandat lebih besar daripada rakyat Johor dengan memenangi kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 11 Julai depan.
Pengerusinya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya yakin perkara itu boleh dicapai berdasarkan maklum balas positif diterima pihaknya daripada masyarakat pelbagai latar belakang.
Menurut beliau, pihaknya sedia menggalas tanggungjawab sebagai ‘poster boy’ sekiranya itu dapat membantu kempen BN untuk terus mentadbir negeri ini.
“BN Johor sudah umum bertanding di kesemua 56 kerusi DUN, kalau bos kita nak menambah semua kerusi. Mana yang sudah menang akan terus dikekalkan dan baki 16 kerusi disandang pengimbang akan cuba dirampas.
“Kita tidak membeza-bezakan kerusi bandar dan luar bandar, kerana rakyat Johor berada di semua kerusi, jadi kita akan fokus untuk memenangi semua kerusi. Kita akan bekerja keras untuk mencapai matlamat itu,” katanya ketika sesi temuramah bersama media Johor di kediaman rasminya, di sini semalam.
Onn Hafiz yang juga penyandang kerusi DUN Machap berkata, pihaknya juga telah hampir memuktamadkan senarai nama calon-calon yang akan bertanding mewakili gabungan itu pada PRN tidak lama lagi.
Setakat ini katanya, kira-kira 80 peratus daripada senarai nama calon yang akan ditampilkan di kesemua kerusi DUN telah selesai dibincangkan.
“Calon yang akan dipilih tidak tertumpu kepada faktor usia, sebaliknya lebih kepada kemampuan individu itu untuk berkhidmat. Jika umur muda dan bertenaga tetapi tidak mampu memberi khidmat terbaik tiada gunanya.
“Jadi kita akan ketengahkan gabungan calon-calon muda, berusia, wanita, Melayu, Cina dan India. Calon-calon yang berkaliber dan mampu menang, memang itu semangat BN selama ini,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata pihaknya tidak akan terburu-buru memuktamadkan senarai tersebut memandangkan masih ada tempoh sebelum penamaan calon iaitu pada 27 Jun ini.
“Masih ada masa, walaupun saya kata sudah 80 peratus tetapi sebelum setiap calon itu menerima watikah, senarainya masih boleh berubah. Kadang-kadang ada yang sudah dapat watikah sebagai calon pun boleh berubah.
“Jadi perbincangan masih lagi diadakan bersama kepimpinan tertinggi termasuklah bersama pemimpin parti-parti komponen seperti MCA dan MIC,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menepis khabar angin bahawa pihaknya berharap peratusan keluar mengundi pada PRN Johor ini kekal rendah bagi memastikan kemenangan terus berpihak kepada BN seperti PRN lalu.
“Sebagai sebuah negeri dan negara yang mengamalkan demokrasi, saya harap lebih ramai akan keluar mengundi. Ini bagi membolehkan kita mendapat representasi yang lebih jelas dengan realiti rakyat setempat.
“Pada 2018 kita telah dihukum, namun PRN lalu kita kembali diberi mandat dan saya percaya kita telah lakukan yang terbaik. Jadi jika sekali lagi diberikan mandat insya-Allah kita akan perbaiki kekurangan dan tambah baik perkhidmatan.
“Kita sudah laksanakan tanggungjawab dalam tempoh empat tahun lebih, jadi PRN ini adalah hak dan tanggungjawab rakyat Johor untuk memilih kerajaan negeri yang dimahukan mereka,” katanya.-UTUSAN










