PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan komitmen untuk terus bersama Perikatan Nasional (PN) dan akan menggunakan logo gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan meskipun berdepan kemelut hubungan dengan Pas.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, parti itu kekal sebagai anggota PN dan keputusan berkenaan dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang berlangsung semalam.
Katanya, Bersatu akan bertanding dalam kedua-dua PRN berkenaan menggunakan logo PN selaras dengan pendirian parti yang terus komited bersama gabungan tersebut.
“Bersatu komited bersama PN. Bersatu adalah anggota PN. Bersatu akan bertanding dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan menggunakan logo PN,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Tun Faisal menegaskan bukan Bersatu yang memutuskan hubungan dengan Pas, sebaliknya tindakan itu dibuat oleh parti berkenaan.
Beliau turut mendakwa Pas tidak komited terhadap PN dan jenama gabungan itu apabila menggunakan logo sendiri di Kelantan dan Terengganu serta berhasrat berbuat demikian di Johor.
“Pas tidak komited dengan PN apabila terbabit rundingan tanpa mandat Langkah Bangkok dan mahu menghidupkan Muafakat Nasional 2.0.
“Pengerusi PN gagal menguruskan PN dengan baik. Tindakan dan kenyataan Presiden Pas dan Pas menjejaskan sokongan terhadap PN,” katanya.
Menurut Tun Faisal, Bersatu merupakan parti yang mencetuskan idea penubuhan PN menerusi Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Idea Bersatu datang daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin, bukan daripada Haji Hadi atau Pas. Perlembagaan PN dirangka dan ditulis oleh Bersatu dari sifar. Logo dicipta oleh Bersatu, bukan oleh Pas.
“Segala urusan pendaftaran dilakukan oleh Bersatu, bukan oleh Pas. Dana pentadbiran dan pengurusannya diperuntukkan oleh Bersatu sejak penubuhannya sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya. – UTUSAN









