MEXICO CITY: Penyerang Mexico, Julian Quinones mengukir namanya dalam sejarah Piala Dunia sebagai penjaring gol pertama kejohanan edisi 2026 ketika berdepan Afrika Selatan dalam aksi pembukaan di Stadium Azteca, hari ini.
Pemain berusia 29 tahun itu tidak menunggu lama untuk mencetuskan kegembiraan penyokong tuan rumah apabila meledak jaringan seawal minit kesembilan menerusi rembatan deras yang menewaskan penjaga gol Afrika Selatan, Ronwen Williams.
Gol tersebut mencetuskan sorakan luar biasa daripada lebih 80,000 penyokong yang membanjiri Stadium Azteca, sekali gus memberi tonik awal kepada Mexico dalam kempen memburu kejayaan di hadapan penyokong sendiri.
Lebih manis, jaringan Quinones itu turut mencatat sejarah sebagai gol pembukaan terpantas dalam saingan Piala Dunia sejak edisi 2006.
Kali terakhir gol pertama kejohanan dijaringkan lebih awal adalah 20 tahun lalu apabila pertahanan Jerman, Philipp Lahm meledak jaringan pada minit keenam ketika pasukannya menewaskan Costa Rica 4-2 dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia 2006.
Jaringan tersebut bukan sahaja memberikan kelebihan awal kepada Mexico, malah meletakkan Quinones dalam senarai pemain yang mencipta detik bersejarah di pentas bola sepak paling berprestij dunia itu.-AGENSI










