JOHOR BAHRU: Dua pasangan suami isteri yang sebelum ini ditahan polis susulan dakwaan memukul pembantu rumah warga Indonesia akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini Isnin ini.
Peguam mewakili keempat-empat tertuduh, Kamal Hisham Jaafar berkata, anak guamnya akan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun kecederaan; Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(1)(b) Akta Pasport 1966.
“Kes tersebut disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) dan Johor Bahru Utara (JBU). Untuk makluman kes yang tular merupakan kejadian lama dan berlaku setahun lalu.
“Keempat-empat anak guamnya yang berusia antara 30 hingga 34 tahun akan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini selepas tamat tempoh reman mereka,” katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Sesyen/Majistret Johor, di sini hari ini.
Tambah Kamal Hisham, pihak keluarga juga telah membuat dua laporan polis terhadap pembantu-pembantu rumah yang terlibat.
“Laporan pertama adalah berkenaan anak mereka didera secara berpanjangan, orang ramai juga boleh lihat berdasarkan rakaman-rakaman tular. Selain itu laporan berkenaan kecurian, yang ada bukti rakaman CCTV.
“Saya percaya berdasarkan bukti yang ada, cukup untuk mendakwa pembantu rumah tersebut atas salah laku mereka,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad memberitahu keempat-empat suspek ditahan bagi membantu siasatan selepas tular beberapa rakaman memaparkan mereka memukul seorang pembantu rumah warga Indonesia di sebuah kediaman di Taman Johor, Skudai, di sini.-UTUSAN










