Cubaan seludup benih udang kara RM2.6 juta gagal

Cubaan seludup benih udang kara RM2.6 juta gagal

SEBANYAK 113 kotak mengandungi benih udang kara bernilai RM2.6 juta yang dirampas Maritim Malaysia di Jeti Tanjung Belungkor, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Cubaan menyeludup keluar benih udang kara bernilai kira-kira RM2.6 juta melalui Jeti Tanjung Belungkor berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi awal pagi semalam.

Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, kejayaan itu hasil maklumat risikan yang membawa kepada pengesanan sebuah bot gentian kaca dalam keadaan mencurigakan pada pukul 6.46 pagi di kawasan jeti berkenaan.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemui 113 kotak polistirena berisi benih udang kara yang dipercayai cuba diseludup ke Singapura.

“Siasatan awal mendapati benih udang kara itu dipercayai dibawa masuk dari Indonesia sebelum dijadikan Malaysia sebagai lokasi transit untuk dihantar ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Turut dirampas, sebuah bot gentian kaca serta enjin sangkut berkuasa 150 kuasa kuda yang digunakan dalam aktiviti berkenaan.

Mohd. Najib berkata, benih udang kara merupakan sumber perikanan bernilai tinggi yang mempunyai permintaan besar di pasaran antarabangsa, sekali gus menjadi sasaran sindiket penyeludupan.

“Aktiviti ini bukan sahaja merugikan negara, malah boleh menjejaskan kelestarian sumber marin jika tidak dibendung,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 40(1) Akta Perikanan 1985 kerana mengimport atau mengeksport ikan hidup tanpa permit sah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN