KUALA LUMPUR: Pembahagian kerusi Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan akan dimuktamadkan pada minggu hadapan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pada ketika ini, rundingan berhubung perkara itu kini masih berjalan dan berada di peringkat akhir.
“Kita sedang dalam perundingan. Insya-Allah minggu depan kita muktamadkan semuanya,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran Tribunal bagi Antibuli di sini, hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir yakin tiada sebarang pertindihan kerusi dalam kalangan parti komponennya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan nanti.
Katanya, buat masa ini, proses agihan kerusi berjalan lancar dan tidak timbul sebarang isu mengenainya.
Dalam pada itu, ketika ditanya bagaimana cara untuk UMNO mengawal kempen supaya tidak memburukkan pihak lawan berikutan kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduaan, Asyraf turut berkata, pihaknya telah membuat ketetapan untuk menyentuh dasar sahaja dan tidak mengehentam peribadi seseorang.
“Kita telah pun buat satu ketetapan yang jelas dalam mesyuarat Majlis Kerja tertinggi (MKT) yang lepas, kita tidak fokus kepada hentam lawan peribadi, kita menyatakan tentang dasar, yang kita nak tawarkan kepada rakyat dan yang paling penting sekali tawaran-tawaran ini yang boleh memberikan manfaat kepada rakyat itu yang akan menjadi fokus kempen kita.
“Presiden parti (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) sudah memberitahu bahawa kita jangan sentuh soal peribadi dan soal membuka aib mana-mana pihak,” katanya.
Ahmad Zahid sebelum ini memaklumkan parti itu akan bertanding solo dalam PRN Negeri Sembilan.
Ini kerana Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan mereka akan bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sementara di Johor pula, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, BN Johor bertanding di semua 56 kerusi DUN, sekali gus memastikan mandat kerajaan negeri terus dipertahankan secara sendiri. – UTUSAN










