NANYUKI: Beberapa rakyat Kenya ditahan hari ini dalam siri terbaharu bantahan terhadap pembinaan sebuah pusat kuarantin Ebola untuk warga Amerika Syarikat (AS) di sebuah bandar pelancongan.
Pusat yang sedang dibina di Pangkalan Udara Laikipia, bandar Nanyuki, berhampiran Gunung Kenya, itu dijangka menempatkan warga AS dari Republik Demokratik Congo (DRC), yang sedang berdepan wabak Ebola.
Kenya tidak pernah merekodkan sebarang kes Ebola dan ramai penduduk membantah idea membawa individu yang berpotensi dijangkiti penyakit berjangkit itu ke negara mereka.
Puluhan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran pangkalan udara berkenaan, dengan sebahagian daripada mereka memakai peralatan perlindungan dan membawa keranda yang tertera perkataan ‘Ebola’.
Wartawan AFP menyaksikan beberapa individu ditahan polis, yang turut melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan kecil penunjuk perasaan.
“Kami tidak mempunyai penyakit itu di negara ini… mereka membawa virus ke negara kami,” kata seorang penduduk, Zipporah Wachira, 30.
Pusat kuarantin itu dijangka mempunyai 50 katil dan akan dikendalikan oleh kakitangan AS. Pembinaannya hampir siap pada penghujung minggu lalu.
Projek itu sebelum ini mencetuskan bantahan pada 1 Jun. Kumpulan hak asasi manusia mendakwa, dua orang maut dalam insiden berkaitan bantahan tersebut, namun punca sebenar kematian mereka masih belum jelas.
Pembinaan kemudahan itu kini tertakluk kepada arahan penangguhan sementara oleh Mahkamah Tinggi Kenya dan turut ditentang oleh ahli politik tempatan di Laikipia.
Bagaimanapun, kerajaan Presiden William Ruto berikrar untuk meneruskan projek tersebut, dengan alasan Kenya berhutang budi kepada Washington atas bantuan yang diberikan selama bertahun-tahun.
“Rakyat dan kerajaan Amerika telah menjadi rakan kongsi kami dalam bidang kesihatan selama hampir 25 hingga 30 tahun,” kata Ruto minggu lalu.
“Adalah amat malang jika hanya kerana satu permintaan daripada rakyat Amerika untuk membina kemudahan ini dengan kos mereka sendiri, kami menolaknya. Ia akan dilihat sebagai tindakan yang tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Menteri Kesihatan Kenya menegaskan, kemudahan kuarantin itu bukan hanya untuk warga AS, malah turut boleh digunakan oleh rakyat negara itu.
Washington memperuntukkan AS$13.5 juta (RM54.7 juta) bagi membantu usaha kesiapsiagaan Kenya dalam menghadapi ancaman Ebola.
Perkembangan itu susulan perjanjian kesihatan kontroversi antara kedua-dua negara tahun lalu, yang menyaksikan Kenya bersetuju menyerahkan sejumlah besar data kesihatan kepada AS sebagai pertukaran bagi bantuan bernilai berbilion dolar.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan kecemasan kesihatan antarabangsa susulan wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC), yang setakat ini merekodkan 515 jangkitan disahkan, termasuk 91 kematian.
Walaupun terdapat kebimbangan mengenai penularan ke negara jiran, hanya Uganda dilaporkan merekodkan kes Ebola. Negara itu mengesahkan 19 kes setakat ini, dengan hampir kesemuanya melibatkan warga Congo yang menyeberangi sempadan.










