Perancis pilihan, Sweden tak gentar

Perancis pilihan, Sweden tak gentar

PENYERANG Perancis, Ousmane Dembele bersedia merobek gawang Sweden menjelang aksi pusingan ke-32, aawal pagi esok selepas menledak hatrik pada aksi terakhir Kumpulan I, Jumaat lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW JERSEY: Sweden sedikit pun tidak berasa tertekan meskipun ramai pemerhati memilih Perancis sebagai pilihan utama untuk mara ke pusingan 16 terbaik apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi pusingan 32 Piala Dunia 2026 di Stadium MetLife, awal pagi esok.

Sebaliknya, skuad kendalian Jon Dahl Tomasson itu percaya tekanan sebenar berada di bahu Perancis yang hadir sebagai antara calon utama untuk menjulang trofi dunia.

Pemain tengah Sweden, Daniel Svensson berkata, status pasukan pilihan yang diberikan kepada Perancis tidak mengubah fokus pasukannya yang hanya mahu menampilkan aksi terbaik.

“Mereka merupakan antara pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Dunia, jadi sudah tentu mereka adalah pilihan dalam perlawanan ini.

“Kami pula hanya mahu melakukan apa yang telah kami usahakan sepanjang tahun ini. Jika kami bermain pada tahap terbaik, saya percaya kami mempunyai peluang untuk menewaskan mereka,” katanya.

Sweden dijangka mengamalkan corak permainan bertahan dengan menjadi serangan balas pantas menerusi dua penyerang berbahaya, Viktor Gyokeres dan Alexander Isak sebagai senjata utama.

Gyokeres yakin semangat dalam kem Sweden berada pada tahap terbaik menjelang pertemuan tersebut.

“Suasana dalam pasukan sangat positif. Kami tenang, fokus dengan persiapan yang dilakukan dan benar-benar menantikan perlawanan ini,” ujarnya.

Seorang lagi pemain tengah Sweden, Yasin Ayari mengakui pasukannya bakal berdepan tugas sukar mengekang jentera serangan Perancis, namun percaya mereka tetap mampu mencipta kejutan.

“Kami mungkin perlu bertahan lebih banyak, tetapi kami juga percaya mampu mencipta peluang dan mengancam mereka.

“Kami mempunyai pemain berkualiti dan keyakinan tinggi sebagai satu pasukan. Kami turun dengan sasaran untuk menang,” katanya.

Sementara itu, Perancis hadir ke perlawanan tersebut dengan reputasi cukup menggerunkan selepas muncul juara Kumpulan I menerusi rekod sempurna, termasuk meledak 10 gol ketika menewaskan Senegal, Iraq dan Norway.

Gandingan Kylian Mbappe, Ousmane Dembele dan Michael Olise terus menjadi senjata utama skuad kendalian Didier Deschamps yang dilihat memiliki antara jentera serangan paling berbisa dalam kejohanan.

Walaupun tidak hadir sebagai pasukan pilihan, Sweden tetap diyakini mampu memberikan tentangan sengit menerusi disiplin bertahan, kelebihan fizikal serta ancaman daripada situasi bola mati.

Rekod juga memihak kepada Perancis yang tidak pernah tewas dalam aksi kalah mati Piala Dunia sejak 2014, kecuali kekalahan menerusi penentuan penalti kepada Argentina pada final edisi 2022. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN