PARIS: Syarikat utiliti milik kerajaan Perancis, EDF, akan memperuntukkan 80 juta euro (RM373 juta) untuk melengkapkan sekolah, taska dan pusat jagaan kanak-kanak dengan sistem penyejukan bagi membantu mereka menghadapi gelombang haba pada masa hadapan.
Kebanyakan sekolah di Perancis tidak direka untuk menahan suhu melampau dan tidak mempunyai penyaman udara.
Gelombang haba yang mencatat rekod minggu ini memaksa ribuan sekolah ditutup, manakala sekolah yang masih beroperasi bergelut untuk menjalankan pembelajaran dalam bilik darjah yang sangat panas.
EDF berkata, separuh daripada bajet itu akan digunakan untuk membiayai lebih 100,000 peralatan seperti kipas, alat kabus air dan unit penyaman udara di lebih 10,000 institusi menjelang akhir September 2026.
Baki peruntukan akan disalurkan dalam bentuk bantuan sekali bayar sebanyak 10,000 euro (RM46,620) bagi setiap institusi untuk membiayai sistem penyejukan sehingga akhir Jun 2027.
“Apabila gelombang haba semakin kerap melanda negara kita, kami mahu mengambil tindakan konkrit dengan membantu sekolah, taska dan pusat jagaan kanak-kanak melengkapkan diri dengan penyelesaian penyejukan segera serta penambahbaikan jangka panjang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif EDF, Bernard Fontana dalam satu kenyataan.
Kesatuan guru Perancis pada Khamis turut menyeru mengadakan mogok sebagai protes terhadap ‘keadaan kerja yang tidak boleh diterima’.
Sebahagian ibu bapa pula mengambil inisiatif sendiri untuk menyejukkan bilik darjah anak-anak mereka, termasuk menggunakan salutan berasaskan kapur pada tingkap atau melekatkan selimut kecemasan pada cermin bagi mengurangkan haba.- AFP










